AFPAFP

KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia di Jamaica dan negara-negara Caribbean lain disarankan supaya berjaga-jaga kerana Hurikan Beryl, Hurikan Kategori-4, dijangka melanda Jamaica pada Rabu.

Kementerian Luar (Wisma Putra) melalui Kedutaan Besar Malaysia di Havana, Cuba sedang memantau rapi pergerakan hurikan itu, menurutnya dalam satu kenyataan.

Kedutaan itu mengekalkan hubungan secara tetap dengan rakyat Malaysia di kawasan yang terjejas, termasuk Kepulauan Cayman, Cuba, Republik Dominican, Haiti dan Kepulauan Turks & Caicos.

Wisma Putra menasihatkan semua rakyat Malaysia untuk mengikuti perkembangan terkini dan panduan yang diberikan oleh pihak berkuasa tempatan untuk memastikan keselamatan mereka.

Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular dinasihatkan untuk menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Havana, di alamat No. 6612, 5th Avenue dan 68 Street, Miramar, Playa, Havana, Cuba atau di talian +53 7204 8883 / +53 7204 8884 dan menerusi e-mel mwhavana@kln.gov.my.

Wisma Putra akan terus memantau situasi berkenaan dan memberikan kemas kini kepada orang ramai mengenai sebarang perkembangan yang signifikan, katanya.

Menurut laporan media antarabangsa, Hurikan Beryl menuju ke Jamaica pada Selasa selepas mengorbankan sekurang-kurangnya lima orang dan menyebabkan kemusnahan meluas di seluruh Caribbean tenggara, membawa angin kencang dan gelombang ribut ketika ia mendekati.

Hurikan kuat itu jarang melanda pada awal musim, melemah pada Selasa tetapi masih merupakan Hurikan Kategori 4 yang “amat berbahaya,“ dan dijangka melepasi “berhampiran atau di atas” Jamaica pada Rabu, menurut ramalan.