• 2025-07-31 05:17 PM

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini membentangkan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dengan pelaburan sebanyak RM611 bilion perlu disediakan oleh kerajaan untuk memacu pembangunan negara bagi tempoh 2026 hingga 2030.

Beliau berkata rancangan pembangunan lima tahun itu menggariskan empat tonggak iaitu meningkatkan kerencaman ekonomi, meningkatkan mobiliti sosial, mempercepat pelaksanaan Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam dan mempertingkatkan kesejahteraan rakyat dan kelestarian alam sekitar.

“Sejak mengambil alih tampuk pentadbiran pada November 2022, Kerajaan MADANI telah pun melangkah berani dan tuntas untuk mengorak hala tuju dasar negara.

“Langkah ini dizahirkan menerusi penggubalan kerangka besar dikenali sebagai Ekonomi MADANI yang berpaksikan kepada kemampanan, kesejahteraan rakyat dan tatakelola yang berintegriti,” katanya ketika membentangkan RMK13 di Dewan Rakyat hari ini.

Di dalam ucapan pembentangan selama hampir 90 minit dengan tema “Melakar Semula Pembangunan”, Anwar berkata RMK13 dirangka dengan tiga asas utama iaitu pembentukan negara bangsa yang berdaulat dan bermaruah, sistem sosial berteraskan insan MADANI, serta peralihan kepada negara berasaskan kecerdasan buatan.

Daripada pelaburan sebanyak RM611 bilion untuk memacu pembangunan negara di bawah RMK13, peruntukan pembangunan daripada kerajaan dianggarkan RM430 bilion manakala pembiayaan daripada GLC dan GLIC pula RM120 bilion bagi menyokong pertumbuhan ekonomi melalui pelaburan langsung domestik dalam sektor strategik, kata Perdana Menteri.

“Sokongan pihak swasta pula, melalui kaedah perkongsian awam swasta (PPP) adalah sebanyak RM61 bilion,” katanya.

Menurut beliau, daripada peruntukan pembangunan kerajaan sebanyak RM430 bilion itu lebih daripada separuh iaitu sebanyak RM227 bilion akan disalurkan kepada sektor ekonomi sebagai tunjang utama pertumbuhan negara.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, sektor sosial turut diberi keutamaan dengan RM133 bilion diperuntukkan dengan sektor pendidikan menerima RM67 bilion, sektor kesihatan diperuntukkan RM40 bilion, sektor keselamatan diperuntukkan RM51 bilion, dan sektor pentadbiran pula akan menerima RM17 bilion.

“Dengan berjayanya kebijakan ikhtiar ini, menjelang 2030, kita bukan sekadar memiliki pencapaian material yang hebat dan mampu mengeluarkan produk bernilai tinggi, malah kita juga mempunyai rakyat yang berjiwa besar, hidup bersatu padu, saling menghormati kepelbagaian budaya dan memiliki jati diri yang utuh. Inilah impian Malaysia MADANI,” katanya.

Anwar berkata RMK13 harus menjadi milik semua - setiap individu, masyarakat, sektor swasta dan Kerajaan berganding bahu dan teguh bergerak di landasan pembangunan yang dihasratkan demi mengangkat darjat, harkat dan martabat rakyat.

Anwar berkata Kerajaan MADANI akan meneruskan usaha memperkukuh integriti dan akauntabiliti, mempertingkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam serta memantapkan pengurusan fiskal.

“Dalam skop ekonomi, tunjang utama peralihan ini adalah pendigitalan dan teknologi termaju, terutama kecerdasan buatan (AI) yang turut menekankan elemen authentic intelligence.

“Usaha juga akan dipergiat untuk membantu rakyat menangani beban kos sara hidup, membentuk sistem sosial negara berteraskan insan MADANI, mempertingkatkan mutu kehidupan serta memperkukuh tahap sosioekonomi golongan sasar ke arah mencapai kehidupan wajar,“ katanya.

Sementara itu Anwar berkata di bawah usaha pendigitalan perkhidmatan awam melalui GovTech, MyDigital ID akan diperkenalkan sebagai kunci pengesahan identiti digital tunggal selamat dan sahih, bagi memudahkan akses kepada pelbagai kemudahan awam dalam talian.

“Dengan sasaran 95 peratus perkhidmatan Kerajaan Persekutuan dilaksanakan secara dalam talian sepenuhnya menjelang tahun 2030, kita yakin Malaysia mampu berdiri megah sebagai sebuah negara berpendapatan tinggi yang berpacukan teknologi AI dan digital,“ katanya.

Selaras hasrat menjadi negara berteraskan kecerdasan buatan, Anwar berkata infrastruktur digital akan ditambah baik bagi mewujudkan lebih banyak peluang ekonomi baharu dan menarik pelaburan strategik dalam sektor pusat data.

“Bagi memperluas adaptasi AI merentasi pelbagai sektor, kerajaan mensasarkan jaringan 5G mencapai 98 peratus liputan di kawasan berpenduduk dan perindustrian termasuk kawasan desa menjelang tahun 2030, seiring sasaran untuk menghasilkan sekurang-kurangnya 5,000 usahawan digital,“ katanya.

Beliau juga berkata dalam tempoh RMK13, Malaysia menyasarkan pewujudan 700,000 peluang pekerjaan baharu dalam sektor pembuatan dan 500,000 lagi penciptaan karier dalam bidang ekonomi digital.

Sementara itu, bagi tumpuan menangani kos sara hidup, Anwar berkata inisiatif seperti Sumbangan STR dan SARA akan diteruskan, manakala Payung Rahmah juga akan dipergiat melalui program-program utama seperti Jualan Rahmah, Menu dan Kafe Rahmah serta Bakul Rahmah.

Sebanyak RM67 bilion akan diperuntukkan bagi sektor pendidikan, antaranya untuk membina sekolah baharu, membaiki dan menaik taraf bangunan sekolah termasuk tadika KEMAS serta fasiliti dan kemudahan institusi pendidikan tinggi awam.

Dalam ucapannya, Anwar turut menyentuh mengenai Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), dengan memperkenalkan Skim Pembiayaan Perkasa TVET MADANI dan Dana Latihan TVET serta mengumumkan peluasan program TVET kepada pelajar tahfiz bagi melahirkan huffaz teknokrat MADANI berkepakaran teknikal.

Anwar berkata sepanjang tempoh RMK13 perkhidmatan pengangkutan awam bersepadu di bandar-bandar utama akan terus ditambah baik melalui tambahan 300 unit van Demand Responsive Transit (DRT) dan 1,200 unit bas serta peningkatan kekerapan perkhidmatan tren penumpang melalui penambahan 217 set tren penumpang.

“Naik taraf laluan sedia ada dan pembinaan jalan baharu akan diteruskan. Antara projek tumpuan termasuklah pembinaan Lebuhraya Lingkaran Tengah Utama, Pahang dan Kelantan; Lebuhraya Pan Borneo Sabah, Lebuhraya Trans Borneo di Sarawak selain pembinaan serta naik taraf jalan luar bandar sepanjang 2,800 km,“ katanya.

Beliau berkata kerajaan juga akan memberi tumpuan khusus untuk memposisikan Sabah dan Sarawak sebagai hab tenaga mampan negara yang berdaya saing di peringkat serantau antaranya menerusi pelaksanaan inisiatif Hab Hidrogen Sarawak dan Jaminan Bekalan Tenaga Sabah.

Anwar berkata bagi negeri-negeri Pantai Timur iaitu Kelantan, Pahang dan Terengganu, pembangunan akan dipacu melalui pewujudan hab pengeluaran makanan negara bersepadu dan berdaya saing, sekali gus menjana peluang ekonomi baharu khususnya kepada penduduk desa.

Bagi mengurangkan risiko kebergantungan negara kepada sumber makanan import, penghasilan produk makanan dalam negara akan dipertingkat dengan tumpuan khusus diberikan untuk membangunkan pertanian berskala besar di Kelantan, Pahang, Terengganu, Sabah dan Sarawak.

“Minda rakyat harus diubah daripada melihat pertanian hanya salah satu kegiatan sara diri kepada peluang menjana ekonomi yang sangat menguntungkan.

Segala ikhtiar ini akan meningkatkan sumbangan nilai ditambah subsektor agromakanan mencecah RM58 bilion menjelang 2030,” katanya.

Anwar juga berkata satu juta unit rumah mampu milik akan dibina oleh Kerajaan Persekutuan dan Negeri serta pemaju swasta dalam tempoh 2026 hingga 2035 bagi membolehkan seramai mungkin rakyat mendiami rumah yang selesa dan selamat melalui pelbagai inisiatif.

Bagi mengurangkan perbelanjaan rakyat atau “out of pocket expenses” untuk perkhidmatan penjagaan kesihatan pula, beliau berkata kerajaan memperuntukkan sebanyak RM40 bilion dalam tempoh RMK13.

“Kerajaan juga menyasarkan untuk mengurangkan jumlah pekerja asing daripada 15 peratus sedia ada kepada 10 peratus menjelang 2030 menerusi penguatkuasaan lebih menyeluruh Mekanisme Levi Pelbagai Peringkat bagi menggalakkan majikan beralih kepada automasi, mekanisasi serta pengambilan pekerja tempatan,” katanya.

Bagi memperkasa perlindungan hak dan darjat komuniti Orang Asli pula, Akta Orang Asli 1954 [Akta 134] akan disemak semula dan melaluinya, perihal pemilikan tanah, pendidikan dan infrastruktur kepada komuniti ini akan ditambah baik sebagai ikhtiar meningkatkan sosioekonomi Orang Asli.

Mengakhiri pembentangannya, Anwar berkata pelaksanaan RMK13 perlu diterjemahkan secara kolektif dan digerakkan dengan penuh iltizam oleh semua lapisan masyarakat.

“Insya-Allah, semoga dengan semangat juang yang marak, iltizam yang jitu dan keazaman yang menyala, Malaysia pasti bangkit sebagai negara yang disegani dunia didorong oleh nilai, prinsip dan kekuatan watannya,” katanya. – Bernama