KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah komited melaksanakan pelbagai inisiatif secara menyeluruh bagi memelihara dan memperkasakan warisan budaya rakyat berbilang kaum di negeri ini, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.
Beliau berkata usaha berterusan itu penting bagi memastikan khazanah budaya negeri ini terus hidup, dihargai dan diwarisi oleh generasi akan datang dalam dunia yang sentiasa berubah.
“Dalam dunia yang sentiasa berubah, penting untuk kita memastikan budaya tempatan kekal relevan dan difahami oleh generasi masa kini dan akan datang. Generasi muda bukan hanya pewaris, tetapi juga penjaga warisan yang akan mencorakkan masa depan negeri ini.
“Pemeliharaan warisan budaya penting bagi memastikan kesinambungan identiti, nilai, dan tradisi sesebuah masyarakat. Oleh itu, saya berharap persatuan etnik di negeri ini terus membangunkan kebudayaan, adat dan bahasa etnik masing-masing supaya tidak pupus,“ katanya dalam kenyataan bersempena dengan majlis sambutan Hari Etnik Sabah di sini malam ini.
Majlis itu dirasmikan oleh Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Musa Aman yang turut dihadiri isterinya Toh Puan Faridah Tussin, serta Timbalan Ketua Menteri II Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri.
Hajiji berkata usaha memelihara warisan budaya itu juga akan membantu menarik lebih ramai pelancong ke Sabah, sejajar dengan sasaran kerajaan negeri untuk mencapai 3.5 juta kedatangan pelancong pada tahun ini.
“Semangat muhibah dalam kepelbagaian ialah tunjang utama kekuatan rakyat di negeri ini. Oleh itu, saya mengajak seluruh rakyat Sabah untuk terus menyuburkan nilai toleransi, saling menghormati dan hidup bersama secara harmoni, tidak kira latar belakang etnik atau agama,” katanya.