KOTA BHARU: Seorang saksi kejadian kemalangan melibatkan bas yang membawa 42 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli awal pagi tadi, sempat cuba mematikan enjin bas itu kerana bimbang kenderaan itu terbakar, namun tidak berjaya.
Menceritakan detik cemas itu, Shahruldi Mahafiz, 52, berkata ketika kejadian beliau dalam perjalanan pulang ke Besut selepas menghantar anak keduanya, Adriana, 21, ke Universiti Teknologi MARA (UiTM) Seri Iskandar, Perak.
Ketika dalam perjalanan pulang selepas berhenti berehat di Hentian Gerik sekitar 12.30 tengah malam, dia mula menerima isyarat lampu tinggi daripada beberapa pengguna jalan raya lain, beberapa kilometer sebelum lokasi kemalangan.
“Sebaik tiba di lokasi, saya ternampak bas dalam keadaan terbalik dan membuat keputusan untuk turun membantu setelah melihat keadaan ketika itu kelam-kabut. Barangan berselerak dan ramai orang kelihatan panik dengan mangsa terbaring bergelimpangan berhampiran bas.
“Tanpa berlengah, saya bergegas ke bahagian hadapan bas dan cuba mematikan enjin kerana bimbang ia boleh mencetuskan kebakaran atau letupan. Saya cuba memulas kunci bas berkenaan selain turut meminta tunjuk ajar daripada pemandu, namun gagal,” katanya kepada Bernama hari ini.
Shahruldi yang turut membuat lintas langsung di Facebook selepas beberapa jam kejadian, berkata beliau enggan berputus asa dan mencuba kaedah manual berdasarkan pengalamannya dalam membantu mangsa kemalangan sebelum ini.
“Memandangkan enjin tidak dapat dimatikan melalui suis utama, saya panjat dan merangkak untuk masuk ke bahagian kotak suis di belakang ekzos bas, namun usaha itu juga tidak berhasil.
“Walaupun kawasan itu sangat panas, berasap dan berwap, saya tidak menghiraukannya kerana niat saya cuma mahu menyelamatkan mangsa. Saya kecewa apabila tidak berjaya mematikan enjin dan hanya mampu berdoa agar keadaan tidak menjadi lebih buruk,” katanya.
Beliau menyifatkan keadaan mangsa terlibat amat menyayat hati, dengan ada yang parah, terhimpit di bawah bas, dengan darah mangsa turut kelihatan mengalir di atas jalan raya akibat kecederaan.
Shahruldi berkata keadaan jalan yang sangat gelap, menyukarkan usaha membantu ditambah lagi ramai yang mengalami cedera parah, menyebabkannya tidak berani mengangkat mangsa terlibat kerana bimbang ia akan menyebabkan kecederaan yang lebih teruk.