• 2025-09-11 09:28 PM

TENOM: Seorang saksi dalam perbicaraan kes gangguan seksual membabitkan pendakwah Ebit Irawan Lew memberitahu mahkamah bahawa beliau mengambil masa selama tujuh hari untuk menganalisis lebih 30,000 gambar yang disimpan dalam sebuah pemacu pena.

Juruanalisis Unit Siasatan Jenayah Komputer Makmal Forensik Polis Diraja Malaysia ASP Yip Chang Ching berkata tempoh tersebut termasuk dua hari yang diperlukan untuk membuka data asal gambar dalam format raw yang diperoleh daripada sebuah telefon yang terlibat dalam kes tersebut.

Beliau menyatakan proses analisis mengambil masa yang lama kerana data raw hanya boleh dibaca menggunakan perisian khusus sebelum ia boleh ditukar kepada format yang boleh dibaca.

Yip menjelaskan data yang dianalisisnya itu merupakan data extraction dan laporan yang telah dibuat oleh syarikat LGMS Berhad.

Beliau menegaskan proses analisis yang dijalankannya tidak akan mengganggu atau mengubah sebarang maklumat atau data terlibat.

Saksi memberitahu bahawa gambar yang dilihatnya dalam pemacu pena dan gambar dalam Digital Forensic Investigation Report kelihatan serupa.

Yip mengesahkan beliau hanya menerima laporan siasatan forensik digital dalam format dokumen mudah alih PDF dan bukan secara fizikal.

Ebit Lew berhadapan 11 pertuduhan antaranya mengaibkan kehormatan seorang wanita berumur 40-an dengan menghantar perkataan dan gambar lucah ke nombor telefon mangsa menerusi aplikasi WhatsApp antara Mac dan Jun 2021.

Pendakwah itu didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Perbicaraan bersambung pada 22 hingga 25 Oktober depan dengan saksi kelapan ini telah selesai memberikan keterangan. – Bernama