KUALA LUMPUR: Hari TVET Negara yang disambut pada 2 Jun setiap tahun adalah manifestasi tekad dan komitmen kerajaan untuk menjadikan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai pilihan utama dalam melahirkan tenaga kerja masa depan yang dinamik, berkemahiran serta berdaya tahan.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata sambutan itu memperlihatkan perkembangan positif ekosistem TVET negara sebagai pemacu pembangunan modal insan serta menjadi platform yang menawarkan peluang pendidikan dan kerjaya dalam bidang berkenaan daripada pelbagai pihak.
Menerusi hantaran di X, Pengerusi Jawatankuasa Majlis TVET Negara itu berkata usaha yang dilakukan adalah bertepatan dengan kerangka Malaysia MADANI yang meletakkan agenda bidang berkenaan sebagai antara keutamaan.
Beliau berkata ini termasuk peluasan akses Pendidikan TVET kepada pelajar luar bandar, penambahbaikan fasiliti latihan serta galakan kepada belia yang ingin membina kerjaya masa hadapan melalui kemahiran.
“Malah (dengan) sokongan padu pelbagai pihak termasuk kerajaan, sektor swasta, institusi pendidikan dan komuniti, TVET akan kekal sebagai teras utama dalam membina Malaysia yang lebih inklusif, progresif serta berdaya saing di peringkat global,” katanya.
Sehubungan itu, Ahmad Zahid menjemput orang ramai memeriahkan Sambutan Hari TVET Negara 2025 yang akan berlangsung dari 11 hingga 13 Jun ini di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC).
Tema sambutan pada tahun ini ialah ‘TVET Pilihan Utama Kerjaya’.