SUBANG: Selangor bertekad untuk memperkasakan generasi akan datang dengan kemahiran digital bagi memastikan mereka mampu menghadapi kepesatan arus pembangunan global, kata Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.
Beliau yang menyambut baik pelancaran inisiatif Advancing Future Skills for All (FS4A) Selangor Scale-Up berkata program ini sejajar dengan aspirasi di bawah Rancangan Struktur Negeri Selangor 2035, khususnya Teras 1 yang menekankan pertumbuhan ekonomi melalui transformasi digital, dan Teras 3 menumpukan akses pendidikan berkualiti, inklusif, dan saksama.
“Inisiatif strategik yang tepat pada masanya itu disokong Google dan dilaksanakan oleh ARUS Academy dengan kerjasama Kementerian Pendidikan, UNICEF, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), dan CelcomDigi.
“Program itu juga contoh terbaik dalam kerjasama antara sektor awam dan swasta. Kita mempunyai Google dan CelcomDigi yang komited terhadap komuniti, serta memastikan setiap kanak-kanak di Malaysia memperoleh kemahiran digital,” katanya ketika berucap pada perasmian FS4A - Selangor Scale-Up di sini hari ini.
Amirudin berkata program itu dijangka melengkapi inisiatif kerajaan negeri dalam merintis kecerdasan buatan (AI) di Selangor.
“Kita yakin usaha berkenaan akan memacu keupayaan untuk meneroka dunia AI, bukan hanya sebagai pengguna atau penerima teknologi, tetapi menjadi sebahagian pencipta masa depan,” katanya.
Sementara itu, CelcomDigi dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa program itu dibiayai oleh Google dan dirangka untuk menangani keperluan sebenar di peringkat akar umbi, bermula di sekolah di daerah pendidikan Gombak, Petaling Utama, Petaling Perdana dan Klang, menerusi pelaksanaan tiga fasa dari Jun hingga September tahun ini.
Menurut kenyataan itu, guru-guru mata pelajaran Sains Komputer, serta Reka Bentuk dan Teknologi yang terpilih termasuk Pegawai Pendidikan Daerah akan menjalani latihan untuk meningkatkan kemahiran, sebelum bersama-sama mengetuai bengkel digital bagi guru-guru lain di daerah mereka.
Langkah itu bermatlamat untuk memastikan sekolah benar-benar mendapat manfaatnya, terutamanya di kawasan kurang mendapat liputan dan berhampiran perumahan kos rendah.
Menurut kenyataan itu, untuk Fasa Pertama seramai 48 guru akan menjalani sesi intensif sehari untuk menjadi Jurulatih Utama bagi daerah masing-masing.
“Dengan bantuan Pegawai Pendidikan Daerah, jurulatih itu akan mengetuai Fasa Kedua menerusi bengkel kemahiran digital secara praktikal di 10 sekolah di daerah masing-masing, melibatkan lebih 120 guru dan pelajar daripada 40 sekolah sepanjang Julai hingga Ogos.
“Untuk Fasa Ketiga pula, guru-guru yang telah dilatih akan melaksanakan bahan latihan FS4A di bilik darjah, melibatkan lebih 13,000 pelajar di 88 sekolah yang akan dilengkapi kemahiran digital.
“Sekolah yang mengambil bahagian juga akan menerima geran untuk melaksanakan projek pembelajaran digital berasaskan sekolah yang disesuaikan mengikut keperluan pelajar,” menurut kenyataan itu.