• 2025-09-23 07:15 PM

SHAH ALAM: Kerajaan negeri melancarkan Pelan Tindakan Strategi Ekonomi Kreatif Selangor sebagai garis panduan transformasi pemain industri meliputi cabang seni, budaya dan digital.

Pelan tindakan ini menyasarkan pulangan berjumlah RM20 bilion menjelang tahun 2035.

Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan negeri Mohd Najwan Halimi berkata pelan itu dijangka dibentangkan semasa sidang Dewan Undangan Negeri pada November ini.

Beliau menegaskan sektor ekonomi kreatif perlu diberi perhatian kerana mempunyai potensi besar untuk menyumbang kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar.

“Daripada jumlah RM20 bilion yang disasarkan, sebanyak RM2 bilion adalah daripada pemain industri kreatif di Selangor,” katanya.

Mohd Najwan menambah angka tersebut membuktikan negeri ini berjaya menyumbang kepada pertumbuhan KDNK di peringkat nasional.

Beliau berkata sektor ini bukan lagi hanya tentang seni dan budaya tetapi mengenai penciptaan pekerjaan bernilai tinggi.

“Ia merupakan pemacu ekonomi, pengukuhan pelancongan serta pembinaan identiti global untuk Selangor,” ujarnya semasa sesi libat urus sempena Ekspo Ekonomi Kreatif Selangor 2025 di Pusat Konvensyen MBSA.

Pelancaran pelan tindakan itu juga dilakukan bagi menyahut seruan Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berhubung pembangunan sektor ekonomi kreatif.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Ekonomi Kreatif Selangor itu berkata kerajaan negeri merangka pelbagai inisiatif untuk memastikan Selangor menjadi trend-setter.

“Kami berhasrat menjadikan sektor ekonomi kreatif disebut di dalam Rancangan Malaysia Ke-13,” katanya.

Enam pemangkin utama telah dikenal pasti iaitu pembangunan bakat, pemerkasaan digital, akses pembiayaan, infrastruktur, akses pasaran dan tatakelola yang mantap.

Tiga strategi utama dilaksanakan bermula dengan Pertumbuhan Ekonomi Mampan untuk memupuk inovasi, keusahawanan serta peluang eksport.

Strategi seterusnya ialah Penyertaan Inklusif bagi memperkukuh bakat tempatan dan memperluas akses kepada platform kreatif.

Pemeliharaan Warisan Budaya dilaksanakan bagi memartabat identiti unik Selangor menerusi pemuliharaan, pelancongan dan penglibatan awam.

Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin berkenan hadir dan merasmikan ekspo tersebut.

Ekspo Ekonomi Kreatif Selangor 2025 dijadualkan berlangsung selama dua hari bermula hari ini.

Acara itu mengandungi pelbagai pengisian antaranya sesi libat urus, forum, bengkel, pameran dan CRE8Biz Xchange.

Platform pemadanan perniagaan CRE8Fund atau Dana Mikro Kreatif Selangor turut disediakan kepada peserta.

Pengisian lain termasuk CRE8Stage dan pemeteraian memorandum antara pihak berkepentingan. – Bernama