BUTTERWORTH: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang mengeluarkan sebanyak 132 notis termasuk saman ketika melakukan pemeriksaan mengejut ke atas 10 buah institut dan sekolah memandu sekitar negeri ini menerusi Ops Institut Memandu dari Januari hingga April tahun ini.

Pengarah JPJ negeri Zulkifly Ismail berkata, dalam operasi itu sebanyak 642 kenderaan yang digunakan untuk pembelajaran memandu diperiksa dan 39 daripadanya dikesan telah melakukan kesalahan.

Katanya, 511 tenaga pengajar dan calon juga diperiksa dengan 28 orang telah diambil tindakan mengikut Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 atas pelbagai kesalahan.

“Antara kesalahan yang dikesan adalah pengajar tidak memiliki dan gagal mengemukakan Sijil Pengajar Institut Memandu (SPIM), pengajar tidak ikut kelas yang dibenarkan, meninggalkan calon tanpa pengawasan dan pengajar merokok.

“Pemeriksaan turut mendapati ada kenderaan yang digunakan di institut memandu itu tidak mempunyai permit sah Sijil Kenderaan Institusi Memandu (SKIM) selain kenderaan didapati digunakan di luar litar, tayar haus dan lampu isyarat tidak berfungsi.

“Selain itu, lima institut dan sekolah memandu didapati tiada sijil Institut Memandu (IM) dan Sekolah Memandu (SM), manakala tiga lagi tidak mempamerkan sijil IM dan SM,” katanya ketika ditemui pada Majlis Riang Raya Aidilfitri JPJ Negeri Pulau Pinang di sini hari ini.

Mengulas lanjut Zulkifly berkata, operasi itu dilakukan susulan aduan diterima berhubung pelanggaran peraturan yang sering dilakukan oleh pengajar, calon, pemilik serta kenderaan yang digunakan ketika proses pembelajaran.

Katanya, ia bagi memastikan pelajar dan pengajar mematuhi peraturan yang ditetapkan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Kaedah- Kaedah di bawahnya selain kenderaan yang digunakan untuk pembelajaran dan ujian memandu dalam keadaan baik dan selamat.

“Ops ini juga bagi memantau pengoperasian institut memandu supaya melahirkan pemandu baharu yang cekap dan memahami peraturan memandu di jalan raya,” katanya.

Beliau berkata, pemantauan secara berkala dilakukan JPJ setiap bulan dan tindakan tegas akan diambil sekiranya pemeriksaan mendapati berlaku pelanggaran peraturan dan undang-undang jalan raya.

Justeru, beliau mengingatkan kepada pengusaha institut dan sekolah memandu supaya mematuhi undang-undang ditetapkan termasuk memastikan tenaga pengajar yang dilantik mempunyai tauliah mengajar selain kenderaan digunakan dalam keadaan baik dan mempunyai permit sah.