• 2025-10-17 08:54 PM

KUALA LUMPUR: Laporan dan siasatan penuh berhubung kes seorang penuntut Universiti Malaya maut selepas terjatuh daripada bangunan kolej kediaman sedang dijalankan pihak berkuasa.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata kementerian dan universiti akan memberikan bantuan segera kepada keluarga mangsa.

Beliau menyatakan pihaknya masih menunggu kenyataan rasmi daripada polis sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan lanjut.

Zambry mengucapkan takziah kepada keluarga pelajar berkenaan melalui catatan di Facebook.

Beliau berkata sejurus menerima perkhabaran mengenai insiden itu, beliau bergegas ke Pusat Perubatan Universiti Malaya.

Universiti Malaya dalam kenyataan memaklumkan mahasiswa terlibat meninggal dunia ketika menerima rawatan di PPUM.

Menurut kenyataan universiti, punca kejadian masih dalam siasatan dan UM memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa.

UM meminta semua pihak menghormati privasi keluarga pelajar berkenaan.

Universiti itu juga menyeru agar tidak membuat sebarang spekulasi atau perkongsian maklumat tidak sahih berhubung insiden itu.

Seluruh warga UM menzahirkan rasa sedih dan simpati mendalam kepada keluarga Allahyarham.

Jabatan Hal Ehwal Pelajar sedang menyalurkan bantuan serta memberikan sokongan sepenuhnya kepada keluarga Allahyarham. – Bernama