PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah mempunyai senarai individu yang dipercayai terlibat dalam kes pencerobohan tanah di Raub, Pahang.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata bagaimanapun, tiada tangkapan dibuat setakat ini dan siasatan bukan sahaja membabitkan isu tatakelola, tetapi juga mencari punca penerokaan tanah itu boleh berlaku tanpa tindakan sewajarnya.
Beliau berkata sebelum ini, SPRM menjalankan siasatan berkaitan isu sama pada 2021 yang hampir selesai pada peringkat pejabat tanah, dan siasatan terbaharu ini melibatkan penerokaan baharu yang dilihat berbeza daripada kes terdahulu.
“Sebahagian peneroka mendakwa mereka telah meneroka sejak 1974, maka pokoknya mungkin sudah berusia 40 hingga 50 tahun, tetapi kita mendapati ada pokok berusia lapan hingga sembilan tahun dan ini menunjukkan ada penerokaan baharu,“ katanya kepada media selepas menghadiri Persidangan Antirasuah Asia Tenggara 2025 di sini hari ini.
Azam turut mengakui cabaran yang dihadapi pasukan penyiasat, termasuk usaha menjejaki dan menyemak latar belakang pegawai yang bertugas pada masa lepas memandangkan ada antaranya sudah bersara.
Sebelum ini, operasi penguatkuasaan terhadap kebun durian di Raub mencetuskan pelbagai reaksi apabila pekebun didakwa tidak berpuas hati selepas tanaman mereka dimusnahkan.
Kerajaan Pahang pula menafikan melanggar perintah mahkamah apabila kira-kira 200 pokok durian Musang King ditebang dalam operasi di Sungai Klau, Raub pada 8 April lepas.
Operasi yang disertai polis dan Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) itu dijalankan di kawasan kebun yang diteroka tanpa kebenaran dan dijangka berlangsung hingga 3 Mei ini.