BANGKOK: Kerajaan Thailand sedang merancang pelaksanaan tambang kereta api elektrik maksimum 20 baht untuk warganegara Thai bermula 1 Oktober ini.
Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pengangkutan, Suriya Juangroongruangkit, berkata kerajaan sedang mempercepatkan penubuhan dana bagi mempromosikan sistem tiket bersepadu. Dana ini akan menggunakan hasil terkumpul Mass Rapid Transit Authority of Thailand (MRTA) untuk membayar balik operator bagi menampung kekurangan hasil tambang.
Skim ini akan meliputi lapan laluan, termasuk 13 jajaran di dalam Bangkok dan wilayah sekitarnya. Jumlah jarak keseluruhan ialah 276.84 kilometer dengan perkhidmatan di 194 stesen.
“Tambang tetap 20 baht untuk perjalanan kereta api elektrik di seluruh laluan pasti akan dilaksanakan selewat-lewatnya 1 Oktober,“ kata Suriya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Beliau yakin orang ramai akan mendapat manfaat besar daripada inisiatif ini. Selain itu, menjelang Ogos 2025, warga Thai yang layak boleh mendaftar untuk skim tersebut melalui aplikasi mudah alih kerajaan “Tang Rat”.
Suriya turut merakamkan penghargaan kepada Gabenor Bangkok, Chadchart Sittipunt, susulan pertemuan baru-baru ini bagi memperkukuh kerjasama. Beliau juga mengarahkan Bangkok Mass Transit Authority (BMTA) melaksanakan sistem bas perantara untuk meningkatkan kesalinghubungan.
Awal bulan ini, Kabinet Thailand meluluskan rancangan mengehadkan semua tambang kereta api elektrik di Greater Bangkok kepada 20 baht mulai 1 Oktober. Langkah ini bertujuan mengurangkan kos perjalanan dan menggalakkan pemandu beralih kepada pengangkutan awam. BERNAMA