• 2025-09-28 08:51 AM

MELAKA: Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026) bukan sekadar menyambut kedatangan pelancong sebaliknya memberikan dunia satu sebab untuk mengingati Malaysia.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing berkata kempen itu bertujuan membina kebanggaan dan kemakmuran untuk rakyat.

Beliau menyatakan TMM2026 juga bertujuan meninggalkan legasi perpaduan, ketahanan serta visi untuk generasi akan datang.

“Pelancongan bukan semata-mata soal angka,” katanya ketika menyampaikan ucapan pada majlis pelancaran TMM2026 di Klebang.

Tiong menekankan ia tentang bagaimana warisan dijadikan kekuatan dan pelancongan dijadikan ekonomi rakyat.

“Ia tentang bagaimana kita membina Malaysia sebagai jenama yang diingati dunia dengan penuh kebanggaan,” tambahnya.

Majlis pelancaran TMM2026 disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sempena sambutan Hari Pelancongan Sedunia dan Persidangan Pelancongan Dunia.

Turut hadir Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Mohd Rustam dan Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Tiong berkata kepelbagaian budaya, tradisi, masakan serta masyarakat di Malaysia kekal sebagai tarikan utama.

Beliau menambah kementerian itu komited memperkukuh usaha promosi dengan kreativiti dan dedikasi.

“Dari segi warisan, TMM2026 akan menampilkan Malaysia sebagai negara yang tidak meninggalkan sejarah tetapi terus menjadikannya asas membentuk masa depan,” katanya.

Beliau memberi contoh pengiktirafan UNESCO terhadap projek penghijauan semula FRIM membuktikan warisan negara merangkumi budaya dan alam semula jadi.

Tiong turut menegaskan pelancongan perlu membawa manfaat kepada komuniti akar umbi.

Manfaat itu merangkumi inap desa di luar bandar, penggiat seni kraf tangan, penjaja, restoran serta usahawan muda.

“Malaysia Truly Asia akan sentiasa kekal dalam DNA kita tetapi hari ini dunia mencari destinasi yang mampan, inklusif dan inovatif,” ujarnya.

Beliau menegaskan Malaysia mesti membuktikan bukan sekadar pulau dan bandar warisan tetapi juga sebuah negara hijau, pintar dan mesra.

Tiong turut menyatakan pelancongan tidak dapat dipisahkan daripada cabaran global seperti perubahan iklim dan ketidaktentuan geopolitik.

Beliau berkata pelancongan boleh menjadi sebahagian daripada penyelesaian dengan mengukuhkan persefahaman antarabangsa.

“Ia juga boleh membuka pasaran baharu dan menyokong kelestarian,” katanya.

Tiong memaklumkan MOTAC telah mula melaksanakan langkah-langkah melalui misi jualan global, kerjasama serantau, inovasi digital serta projek rintis pelancongan berasaskan komuniti.

“Kejayaan sebenar hanya akan dapat diukur pada 2026, apabila rakyat Malaysia daripada semua lapisan berkata kempen ini membawa manfaat kepada komuniti saya dan negara saya,” katanya. – Bernama