Thursday, November 6, 2025
28.9 C
Malaysia
the sun malaysia ipaper logo 150x150
spot_img

Tun Ramli: Hormat Raja asas pembinaan negara bangsa

The Sun Berita

GEORGE TOWN: Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ramli Ngah Talib hari ini mengingatkan bahawa penghormatan terhadap institusi Raja Berperlembagaan merupakan asas penting dalam pembinaan negara bangsa dan kestabilan sistem kenegaraan.

Beliau berkata institusi yang berdaulat itu bukan sekadar warisan sejarah, tetapi juga sebahagian daripada struktur pemerintahan yang menjamin keseimbangan antara kuasa, tanggungjawab dan hak rakyat.

“Prinsip ini telah termaktub dalam satu daripada lima Rukun Negara yang wajar untuk difahami, dihargai serta dipelihara dengan penuh rasa tanggungjawab.

“Di negara ini, institusi beraja bukan hanya lambang kedaulatan, tetapi juga berperanan sebagai penjaga keluhuran perlembagaan, pemelihara nilai tradisi dan penyatu rakyat dalam semangat patriotisme yang luhur,” katanya dalam ucapan pada Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Kehormatan Negeri bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun ke-84 Tun Ramli di Dewan Seri Pinang, di sini hari ini.

Justeru, beliau menyeru rakyat Pulau Pinang agar sentiasa menzahirkan rasa hormat itu melalui sikap, kefahaman dan penghayatan yang ikhlas kerana institusi kenegaraan yang diasaskan atas prinsip Raja Berperlembagaan akan terus utuh selagi rakyat berpegang teguh kepada asas yang sama.

Sementara itu, Tun Ramli berkata Bulan Kebangsaan yang bakal menjelang sewajarnya menjadi wadah untuk memperteguh semangat kemerdekaan dan memupuk kecintaan yang mendalam terhadap tanah air.

Beliau berkata selain sekadar warisan sejarah, kemerdekaan juga tanggungjawab bersama untuk memelihara keamanan, menghargai nikmat kebebasan dan mempertahankan kemajuan yang telah dicapai.

Dalam pada itu, beliau juga merakamkan ucapan tahniah kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang atas kejayaan mencatatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sebanyak 4.8 peratus pada tahun lepas yang menjadikan jumlah KDNK negeri mencecah RM121.5 bilion.

“Sesungguhnya kerajaan negeri telah membuktikan bahawa pentadbiran yang sistematik, berfokus dan progresif merupakan antara kunci utama bagi memastikan kestabilan ekonomi secara mampan,” katanya.

Terdahulu, Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Kehormatan Negeri Pulau Pinang dimulakan dengan 17 das tembakan meriam diikuti dengan tabik hormat dan pemeriksaan perbarisan serta kawalan kehormatan secara serentak.

Hari ini, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar yang menerima Darjah Panglima Pangkuan Negeri (DPPN) yang membawa gelaran Datuk Seri, mendahului senarai 280 penerima.

Tahun ini, sebanyak 150 individu akan menerima penganugerahan Darjah Kebesaran manakala 1,380 orang menerima Bintang dan Pingat Kehormatan pada istiadat yang diadakan selama empat hari bermula pada hari ini, 28, 29 dan 30 Julai ini- BERNAMA

Related

spot_img

Latest

Most Viewed

Qabil Irfan eyes strong finish at ESBK Finale

The 2025 Espana Superbike Championship (ESBK) season will conclude this weekend at the Jerez Circuit in Spain. Malaysia’s Qabil Irfan has already sealed the overall championship title in the ESBK Talent category after his triumph at the previous round in Estoril, Portugal. The Jerez Circuit, one of Qabil’s favourite tracks, features eight right-hand turns, five left-hand turns, and a 607-metre straight, where he has consistently delivered strong performances. Two races will be contested this weekend, on Saturday and Sunday. Following the ESBK finale, Qabil will travel to Valencia to compete in the FIM MiniGP World Final with the FIM MiniGP Malaysia Team.
spot_img

Popular Categories

spot_imgspot_img