KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk R. Ramanan menyarankan unit komunikasi korporat di setiap kementerian agar memainkan peranannya dalam menyebarkan maklumat mengenai inisiatif-inisiatif yang sedang dirancang kerajaan kepada umum sebagai persediaan awal orang ramai untuk menerimanya.

Beliau berkata unit itu boleh menghubungi agensi berita yang berwibawa bagi mendapatkan maklumat tepat mengenai sesuatu inisiatif untuk disebarkan kepada orang ramai sebelum inisiatif itu dilaksanakan.

Ahli Parlimen Sungai Buloh itu berkata apa yang diperlukan ialah persediaan, dengan semua editor kanan dipanggil lebih awal dan diberi notis bahawa isu-isu atau inisiatif tertentu akan dilaksanakan.

“...kerana tanpa diberi peluang untuk persediaan sewajarnya, dari segi persekitaran mahupun pemahaman orang ramai, atau memberi jawapan kepada kepada soalan yang bermain di fikiran, maka apabila langkah mengejut terus dimasukkan ke dalam sistem - orang ramai sering cenderung untuk bertindak balas.

“Ia tindak balas yang berbeza daripada apabila anda benar-benar memberikan mereka peluang untuk bertanya soalan, atau anda berikan sesuatu yang boleh membuatkan mereka lebih selesa,” katanya selepas mesyuarat Concorde Club di sini hari ini.

Concorde Club ialah perjumpaan tidak rasmi editor kanan dan wartawan bersama ahli politik dan penggubal dasar utama. Turut hadir Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Seri Wong Chun Wai.

Sementara itu Ramanan berkata kerajaan MADANI mendapat sokongan berterusan rakyat, dengan ekonomi menjadi salah satu faktor mengekalkan sokongan mereka.

Beliau berkata setiap prestasi kerajaan adalah berdasarkan dan banyak bergantung kepada keadaan ekonomi negara, dan tidak ada kerajaan di dunia ini yang mengadakan pilihan raya dalam keadaan ekonomi negara semakin merudum.

Dalam hal ini Ramanan berkata ekonomi adalah isu utama, dan akan menentukan sokongan rakyat kepada kerajaan tanpa mengira kaum sama ada Melayu, Cina atau India.