GEORGE TOWN: Polis meminta bantuan orang ramai untuk mengesan seorang wanita warga emas yang dilaporkan hilang dari rumahnya di Kampung Lembah Ria, Ayer Itam, di sini sejak 9 Jun lepas.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Razlam Ab Hamid berkata usaha mengesan wanita itu Rohani Babu, 63, dijalankan pihak polis selepas menerima laporan daripada ahli keluarga sejak hampir sebulan lepas.

“Berdasarkan laporan polis dibuat ahli keluarganya memaklumkan wanita itu tiada di rumah dan gagal dikesan, dia tinggal berseorangan di kediamannya serta mempunyai masalah hilang ingatan, sakit sawan dan pertuturan tidak jelas,“ katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata wanita itu mempunyai seorang anak lelaki yang tinggal di Seberang Perai dan bekerja kilang di Batu Kawan yang telah melakukan pelbagai usaha mengesan ibunya.

Sehubungan itu, Razlam berkata pihak polis meminta bantuan dan kerjasama orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat berhubung Rohani untuk menyalurkan maklumat serta menghubungi pegawai penyiasat Sarjan Zolkefli Mohd Nor di talian 013-5951192 atau Balai Polis Bandar Baru 04-2824522.

Sementara itu, sepupu Rohani Shamsiah Ibrahim, 39, berkata wanita itu yang turut dikenali sebagai “Makndak” dalam kalangan ahli keluarga dan penduduk setempat disedari hilang pada tengah malam selepas ahli keluarganya mendapati pintu rumahnya terbuka dengan keadaan rumah berselerak.

Beliau berkata warga emas itu tidak membawa sebarang dokumen pengenalan diri ketika keluar dari rumah.

Open Two Websites with Image

Clickable Image