• 2025-09-10 07:17 PM

JOHOR BAHRU: Seorang pemandu pelancong warga emas mengalami kerugian besar sebanyak RM125,000 selepas terperdaya skim pelaburan tidak wujud yang menjanjikan pulangan sehingga 200 peratus.

Mangsa berusia 72 tahun itu dikatakan tertarik dengan iklan pelaburan di Facebook pada Mei lepas sebelum dimasukkan ke dalam sebuah kumpulan Telegram.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan ACP Raub Selamat berkata mangsa yang tinggal di Larkin kemudian berhubung dengan pengendali kumpulan itu selepas menekan pautan iklan tersebut.

Mangsa yakin dengan tawaran lumayan itu dan diminta memasukkan wang ke dalam beberapa akaun bank dengan janji keuntungan selepas sebulan.

Namun mangsa hanya menerima RM100 dan masih diminta membuat bayaran tambahan untuk mengeluarkan keuntungan yang dijanjikan.

Raub berkata mangsa telah melakukan 12 transaksi ke enam akaun bank berbeza dari 26 April hingga 11 Julai lepas.

Kes ini sedang disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membabitkan penipuan. – Bernama