KUCHING: Satu kluster baharu Covid-19 iaitu Kluster Jalan Kolej dikesan di Sarawak melibatkan sebuah institusi di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia, menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak.

JPBN Sarawak dalam kenyataan hari ini memaklumkan kluster itu melibatkan pelatih dan kontak sosial pelatih di sebuah asrama di institut pengajian awam di Jalan Kolej di sini.

Kluster tersebut dikesan apabila empat pelatih yang mengalami tanda-tanda dan gejala menjalani saringan Covid-19 di sebuah fasiliti kesihatan pada 7 Feb lepas.

“Indeks-indeks kes ini juga mempunyai sejarah pulang dari negeri masing-masing di Semenanjung Malaysia kerana bercuti dan kembali semula ke institusi pada 5 Feb.

“Jangkitan dipercayai berpunca daripada kontak rapat kepada kes positif Covid-19 dan pergaulan sosial dalam kalangan pelatih dan kontak rapat mereka,” menurut JPBN Sarawak.

Seramai 52 individu telah disaring dalam kluster tersebut dengan 26 orang didapati positif termasuk kes indeks.

Sarawak hari ini mencatatkan 201 kes baharu harian Covid-19.

-Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image