GEORGE TOWN: Syarikat mengendalikan projek pembinaan gudang logistik di Batu Maung, Bayan Lepas dekat sini, yang runtuh malam Selasa lepas, diarah melantik penyiasat bebas untuk mengenal pasti punca insiden dan menilai kualiti struktur pembinaan di tapak itu.

Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Pulau Pinang Hairozie Asri berkata pihaknya sedang menjalankan siasatan susulan di tapak kejadian bersama pasukan Bahagian Kejuruteraan Forensik JKKP Malaysia.

Beliau berkata notis pemberhentian serta-merta ke atas semua kerja di tapak itu telah dikeluarkan.

“Siasatan yang dijalankankan adalah menjurus kepada Seksyen 15 Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 iaitu berkaitan dengan tanggungjawab majikan terhadap keselamatan dan kesihatan pekerjanya semasa aktiviti kerja dijalankan.

“Susulan tiga pekerja Bangladesh maut dalam kejadian itu, majikan juga bakal berdepan tindakan perundangan sekiranya didapati terdapat pelanggaran di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 ke atas pihak yang bertanggungjawab,“ katanya dalam kenyataan hari ini.

Hairozie berkata jabatan itu hanya akan membatalkan notis tersebut sekiranya semua bukti telah diperoleh dan pihaknya berpuas hati dengan langkah pembaikan serta kawalan yang akan diambil bagi mengelakkan kemalangan seumpama itu pada masa akan datang.

Beliau berkata majikan bertanggungjawab di bawah Seksyen 15(1) akta berkenaan untuk memastikan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja termasuk di tapak pembinaan.

“Majikan yang mempunyai kawalan penuh ke atas sebarang aktiviti di tempat kerja perlu membuat analisa risiko dan mengadakan kawalan risiko yang berkesan sebelum sebarang aktiviti kerja dijalankan.

“Ini bagi menghapus atau mengurangkan risiko keselamatan ke atas pekerja dan orang awam serta mengelakkan berlakunya kemalangan semasa aktiviti kerja dijalankan,“ katanya.

Menurut Hairozie, JKKP Pulau Pinang memandang serius setiap kemalangan dan penyakit pekerjaan berpunca daripada aktiviti pekerjaan di semua sektor, selain sentiasa komited untuk meningkatkan tahap keselamatan dan kesihatan pekerjaan di negara ini termasuk dalam sektor pembinaan.

Dalam kejadian 9.58 malam itu, tiga pekerja warga Bangladesh maut selepas gudang logistik dalam pembinaan itu runtuh, manakala dua lagi mangsa parah dan dibawa ke Hospital Pulau Pinang.

Sebelum kejadian, 18 pekerja warga asing sedang bekerja namun sembilan daripada mereka keluar untuk bersolat. Bagaimanapun, empat pekerja yang dikatakan tertimbus sebenarnya masih hidup selepas mereka dikesan melarikan diri. -Bernama