KLANG: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Tengah Unit II (Selangor) berjaya menyekat cubaan menyeludup rokok dan pengilangan haram minuman keras bernilai RM1.152 juta dalam dua serbuan berasingan di Balakong dan Cheras pada 29 Mac dan 1 April lepas.

Penolong Ketua Pengarah Kastam (Zon Tengah Selangor) Norlela Ismail berkata bagi kes penyeludupan rokok, pihaknya telah membuat pemeriksaan ke atas sebuah kontena yang diletakkan di tepi jalan di Balakong pada 19 Mac dan menemukan 1,320,000 batang rokok yang disembunyikan di bawah lantai kontena tersebut.

Beliau berkata modus operandi yang digunakan adalah dengan menyembunyikan rokok di celah bukaan lantai kayu kontena dengan bahagian bawah kontena berkenaan ditutupi ‘plywood’ dan plat besi bagi mengelak daripada dikesan pihak berkuasa.

Beliau berkata rokok yang disayaki tidak berkastam bernilai RM987,360 beserta kontena ‘collapsible flatrack container’ itu kini disita untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Bagi kes kedua, Norlela berkata Bahagian Penguatkuasaan JKDM Zon Tengah telah membuat serbuan ke atas sebuah premis di Batu 9 Cheras dan pemeriksaan mendapati berlaku aktiviti pembotolan minuman keras di premis tersebut.

Beliau berkata pemeriksaan lanjut menemukan botol-botol dan kotak pembungkusan minuman keras pelbagai jenama dan jenis yang disyaki tidak berkastam serta mempunyai label cukai yang dipercayai palsu, manakala premis tersebut juga didapati tidak berlesen di bawah Akta Eksais 1976.

“Sebanyak 1,753 liter liter minuman keras dengan anggaran nilai RM165,000 telah disita, manakala dua lelaki tempatan berumur 54 dan 64 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan,“ katanya.

Norlela berkata bagi mengelak dikesan pihak berkuasa, sindiket telah menjadikan kawasan syarikat kitar semula dan kimpalan besi sebagai tempat beroperasi dan pihaknya percaya minuman keras itu dikilangkan untuk pasaran tempatan.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 iaitu dengan sedar menyimpan barang tak berkastam atau barang larangan dan Seksyen 3(1) Akta Memperbaharui Undang-Undang (Penghapusan Samsu Gelap) 1976 kerana mengilang samsu gelap.

Orang ramai diseru menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan menerusi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau Pejabat Kastam terdekat dengan identiti pemberi maklumat dirahsiakan.

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image