Your Title

KUANTAN: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menumpaskan sindiket penyeludupan rokok selepas menahan seorang pemandu lori dan merampas rokok bernilai lebih RM1.5 juta termasuk cukai, di sebuah stesen minyak berhampiran Felda Neram 1, Kemaman, Terengganu, 23 Mei lepas.

Ketua Pengarah JKDM Datuk Zazuli Johan berkata operasi itu dijalankan oleh lapan anggota daripada Bahagian Penguatkuasaan JKDM Pahang pada 1.30 tengah hari selepas seminggu risikan.

Beliau berkata pemandu lori itu dipercayai dalam perjalanan dari Pantai Timur dan berhenti di lokasi tersebut untuk mengisi minyak.

“Setelah pemeriksaan dijalankan kami menemukan 2.1 juta batang rokok putih yang disyaki barang import berjenama U2 disimpan di dalam 210 kotak yang dibalut plastik berwarna kuning.

“Taktik yang digunakan oleh sindiket ini ialah menggunakan lori kanvas dan bergerak aktif pada waktu kemuncak bagi mengaburi mata pihak berkuasa,” katanya pada sidang media di sini hari ini yang turut dihadiri Pengarah JKDM Pahang Wan Apandi Wan Hassan.

Beliau berkata sindiket itu dipercayai menggunakan laluan laut untuk menyeludup rokok berkenaan sebelum memuatkan barangan berkenaan ke dalam lori dan diedarkan di kawasan Pantai Barat.

Katanya pemandu lori warga tempatan berusia 36 tahun itu direman selama 14 hari hingga 6 Jun bagi membantu siasatan mengikut Akta Kastam 1967.

Sementara itu, Zazuli berkata orang ramai disaran membantu pihaknya dalam memerangai jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun dan dadah, serta dinasihatkan supaya tidak membabitkan diri dengan aktiviti tersebut.

Orang ramai boleh memberikan kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi talian bebas tol 1-800-88-8855. -Bernama