the sun malaysia ipaper logo 150x150
Thursday, July 2, 2026
28.5 C
Kuala Lumpur
the sun malaysia ipaper logo 150x150

Kes samun pemandu e-hailing, remaja 13 tahun dibebas dengan jaminan polis

SUNGAI PETANI: Seorang remaja lelaki berusia 13 tahun yang terbabit dalam kes cubaan samun pemandu e-hailing Isnin lalu, dibebaskan dengan jaminan polis.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, ACP Zaidy Che Hassan berkata setakat ini siasatan kes itu telah selesai dan kertas siasatan akan diserahkan kepada pihak timbalan pendakwa raya untuk tindakan selanjutnya.

“Siasatan membabitkan kes cubaan samun oleh seorang remaja lelaki berusia 13 tahun telah selesai dan remaja terbabit dibebaskan dengan jaminan polis…remaja terbabit direman selama sehari bagi membantu siasatan dan tempoh reman telah berakhir semalam.

“Kami membebaskannya hari ini sementara menunggu keputusan lanjut daripada pejabat timbalan pendakwa raya selepas menyiapkan kertas siasatan,” katanya ketika dihubungi media, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan remaja lelaki terbabit bertindak mengacukan pisau terhadap seorang pemandu e-hailing dalam cubaan samun di Taman Keladi dekat sini, kira-kira 6 petang, Isnin lepas.

Pemandu e-hailing yang juga warga emas berusia 65 tahun itu bagaimanapun tidak mengalami kecederaan sebaliknya bertindak menggigit tangan suspek dan merampas pisau tersebut sebelum remaja terbabit turun dari keretanya dan melarikan diri.

Tindakan remaja terbabit dirakam menerusi kamera ‘dashboard’ yang dipasang pada kereta pemandu e-hailing terbabit dan video berdurasi satu minit 32 saat itu tular di media sosial. –Bernama

STAY AHEAD OF THE CURVE

Join our community for instant updates and exclusive content.

Join Telegram Channel

Related


spot_img

Latest News

Most Viewed

spot_img
WC26

World Cup 2026

Updates, Fixtures, Results & Standings