TUMPAT: Tindakan penyeludup yang membawa bekalan 7,200 kilogram ayam beku bernilai RM72,000 pada awal pagi tadi tidak menjadi apabila berjaya dikesan sepasukan anggota Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7) kira-kira pukul 5.34 pagi.

Pegawai Pemerintah PGA7 Supt Azhari Nusi berkata sebelum kejadian, pasukannya yang menjalankan rondaan dalam Op Kontraban telah mendapat maklumat berkaitan penyeludupan ayam beku pada 2.30 pagi.

Beliau berkata susulan maklumat diterima, sepasukan anggota PGA7 telah membuat rondaan dan ternampak sebuah lori dalam keadaan mencurigakan di hadapan Masjid Ar-Rahman di Jalan Kota Bharu-Pengkalan Kubor dekat Wakaf Bharu, di sini.

“Bertindak atas maklumat, lori bersama dua lelaki itu telah ditahan dan hasil pemeriksaan di bahagian belakang lori menemukan puluhan kotak disyaki mengandungi daging ayam beku.

“Susulan itu, kedua-dua lelaki berumur 24 dan 30 tahun telah ditahan manakala kesemua barangan termasuk lori telah dirampas dan dibawa ke Balai Polis Wakaf Bharu untuk tindakan lanjut,“ katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Azhari berkata kesemua ayam beku itu disyaki akan dibawa ke lokasi tertentu, berkemungkinan sehingga luar Kelantan berdasarkan jumlahnya yang banyak.

“Keseluruhan nilai rampasan adalah sebanyak RM192,000 termasuk sebuah lori yang dianggarkan bernilai RM120,000,“ katanya dan menambah perbuatan itu satu kesalahan di bawah Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011.

-Bernama