JOHOR BAHRU: Kerajaan sentiasa bersikap terbuka dalam menerima pandangan dan kritikan daripada mana-mana pihak, kata Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abdul Halim.

Beliau berkata soal keterbukaan antara kerisauan yang diutarakan golongan belia pada program Kembara Jumpa Orang Muda (JOM) inisiatif kementeriannya menerusi Pejabat Pendaftar Pertubuhan Belia (ROY) dan Jabatan Belia dan Sukan (JBSN).

“Ada persoalan-persoalan yang menyentuh tentang keterbukaan kerajaan dalam berhadapan dengan kritikan dan sebagainya.

“...(justeru) kita (kerajaan) beri jaminan, bahawa kerajaan sentiasa bersifat terbuka dari semasa ke semasa, dalam masa sama kita tidak boleh menjejaskan keharmonian masyarakat,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Kembara JOM Peringkat Negeri Johor di sini hari ini.

Menurut Adam Adli pandangan tentang peluang pekerjaan, pendidikan dan pindaan Akta 668 yang merangkumi penurunan definisi had umur belia kepada 30 tahun turut mendapat perhatian golongan belia.

“Ini semua adalah tanda atau indikator bahawa golongan belia menerusi program ini dapat memberi tumpuan kepada isu sebenar yang melingkari kehidupan dan persekitaran mereka, ini saya puji.

“Jadi kita sebagai kerajaan perlu ambil maklum dan buat yang terbaik untuk pastikan kita dapat jawab (persoalan mereka),” katanya.

Beliau berkata Johor merupakan negeri keempat penganjuran Kembara JOM selepas Melaka, Negeri Sembilan dan Selangor, manakala destinasi seterusnya Kuala Lumpur.

Program itu membolehkan pihak berkepentingan memberikan maklum balas dan pandangan terhadap draf Pelan Transisi Kepimpinan Belia secara terus kepada kepimpinan tertinggi kementerian.

Antara pengisian Kembara Jom ialah taklimat oleh ROY, aktiviti Rakan Muda dan pameran reruai oleh jabatan dan agensi kerajaan.