the sun malaysia ipaper logo 150x150
Saturday, July 4, 2026
27.5 C
Kuala Lumpur
the sun malaysia ipaper logo 150x150

Produk kraf “soft toys” daripada batik jana pendapatan suri rumah

JASIN: Bermula dengan hobi, seorang suri rumah berjaya menjadikan minat menjahit sebagai sumber pendapatan dengan menghasilkan produk kraf soft toys iaitu mainan kanak-kanak yang dibuat daripada batik dalam pelbagai saiz, warna dan bentuk.

Mazlina Abdul Majid, 51, dari Kampung Rim berkata sehingga kini kira-kira 10,000 mainan dihasilkannya sejak beliau memulakan perniagaan kraf itu kira-kira empat tahun lepas.

Beliau berkata dengan menjadikan sebuah bilik dalam rumah sebagai bengkel menjahit, beliau turut dibantu dua pekerja bagi menghasilkan mainan kanak-kanak itu selain beberapa produk kraf lain seperti batu seremban, rantai kunci dan pelitup muka.

“Lebih istimewa mainan ini juga beridentitikan Melaka pada cap batik dan bentuk kancil selain terdapat bentuk seperti dinosaur, arnab, kucing, burung hantu dan lain-lain yang selamat digunakan untuk kanak-kanak dan juga sesuai untuk dijadikan cenderamata.

“Saya amat menitikberatkan kualiti pada setiap produk dihasilkan berbanding kuantiti bagi memastikan kepuasan pembeli dan produk itu tahan lasak,“ katanya kepada pemberita selepas ditemui pada Program Craft Media Tour di sini hari ini.

Menurut ibu kepada enam cahaya mata itu, beliau sebelum ini bekerja di kilang namun terpaksa berhenti disebabkan menghadapi masalah slipped disc dan kemudiannya mengikuti kursus menjahit pada 2019 menerusi program quick win anjuran sebuah daripada agensi kerajaan selain mendapat bimbingan Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia).

Mazlina berkata batik yang digunakan untuk membuat produk kraf itu diperoleh daripada pengusaha tempatan serta turut menghasilkan rekaan batik sendiri menerusi penggunaan tanah liat ketika proses membuat batik di bengkel berdekatan kampungnya.

Beliau berkata lebih membanggakan produk dihasilkan di bawah Che Embun Creative Collection miliknya itu juga kini berjaya dijual hingga ke United Kingdom menerusi platform MYCraftshoppe iaitu saluran pemasaran produk kraf dan perkhidmatan secara dalam talian.

“Alhamdulillah dalam tempoh empat tahun ini Kraftangan Malaysia banyak membantu dari segi bantuan kewangan, pengeluaran, bahan dan pemasaran sehingga produk kraf ini semakin dikenali.

“Saya juga melihat bidang kraf ini juga mempunyai potensi kepada mana-mana pihak yang berminat untuk menceburinya yang boleh dijadikan sebagai punca untuk menambah pendapatan sampingan keluarga,“ katanya.

Mazlina berkata setiap mainan dan produk kraf itu dijual dengan harga serendah RM12 hingga RM120 mengikut saiz dan jenis.

Usahawan kraf itu juga mendapat pensijilan Standard Kraftangan Malaysia 1:2022 – Penilaian bagi Pengelasan Industri Kraf Tangan Malaysia yang menepati tujuh penilaian ditetapkan iaitu berkaitan produk, keupayaan teknikal, keupayaan pengeluaran, amalan baik, kecekapan pengurusan, kekukuhan kewangan dan prestasi perniagaan. -Bernama

STAY AHEAD OF THE CURVE

Join our community for instant updates and exclusive content.

Join Telegram Channel

Related


spot_img

Latest News

The VinFast VF 8 and the New Priorities of EV Ownership

DUBAI, UAE - Media OutReach Newswire - 3 July 2026 - Today's EV buyers are looking beyond range and horsepower. They want an ownership experience that is just as reassuring as the vehicle itself, and that is where the VinFast VF 8 makes a strong case.

Most Viewed

spot_img
WC26

World Cup 2026

Updates, Fixtures, Results & Standings