BUTTERWORTH: Keadaan berlumpur di dasar sungai, selain halangan sampah sarap serta arus yang deras menyukarkan operasi mencari seorang anggota bomba yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam sungai ketika sedang menyelenggara bot di Jeti Pangkalan Marin JBPM Mak Mandin di sini, malam tadi.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Datuk Nor Hisham Mohammad (gambar) berkata operasi dilakukan secara besar-besaran pagi ini membabitkan jarak satu kilometer ke hilir dan 500 meter ke hulu dari lokasi Mohd Izwan Illias, 42, dilaporkan hilang semalam.

Beliau berkata operasi dilakukan secara selaman serta pencarian di permukaan air menggunakan penarik dasar, selain penyertaan dua ekor anjing dari Unit Anjing Pengesan (K9) dan penggunaan dron, dalam usaha memperluaskan ruang pencarian.

“Seramai 50 anggota terlibat dalam operasi ini menggunakan sembilan bot milik JBPM, Polis Diraja Malaysia (PDRM), dan juga bantuan daripada bot nelayan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi di sini hari ini.

Kejadian pada pukul 10.10 malam tadi dikatakan berlaku semasa Mohd Izwan yang bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat Butterworth bersama seorang lagi anggota bomba hendak menambat bot berkenaan di jeti itu usai melakukan pengujian enjin.

Nor Hisham berkata Mohd Izwan yang telah berkhidmat bersama pasukan bomba selama 19 tahun disifatkan sebagai seorang anggota yang ringan tulang selain disenangi rakan sekerja. -Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image