• 2025-08-31 02:19 PM

KUALA LUMPUR: Sukan ekstrem water abseiling semakin menjadi pilihan gaya hidup baharu dalam kalangan anak muda dan wanita yang ingin mencabar diri.

Aktiviti ini memerlukan peserta menuruni tebing batu licin dengan ketinggian melebihi 80 meter sambil ‘dihujani’ air terjun deras.

Ramai peserta berani menterbalikkan badan seperti ‘Spiderman’ di udara dengan hanya bergantung pada seutas tali untuk merakam detik luar biasa.

Populariti aktiviti yang juga dikenali sebagai rappelling ini turut dipacu oleh pengaruh media sosial.

Suzana Hassan, 40, memberanikan diri mencuba aktiviti ini selepas menonton video pendek di FYP TikTok.

“Bila tengok di video nampak macam seronok dan style (bergaya), lagipun jarang dilakukan orang tempatan, membuatkan saya rasa nak cuba walaupun sebenarnya saya seorang yang takut dengan ketinggian,“ katanya.

“Bila dah sampai masa, masa tengah turun tu saya memang terfikir ‘apa aku buat ni?’ Rasa menyesal, rasa nak patah balik pun ada,“ kongsi ibu kepada dua anak itu.

Berbeza dengan Nur Zahirah Ainaa Mohd Zamri, 22, yang sudah lama meminati sukan lasak dan menyifatkan aktiviti itu sebagai sesuatu yang wajib dicuba.

Media sosial banyak membantunya mendapatkan maklumat tentang lokasi, operator dan langkah keselamatan.

“Tentunya saya suka gambar cantik sebagai kenangan, tapi lebih kepada nak beri inspirasi,“ katanya yang berhasrat mencuba lebih banyak aktiviti lasak lain.

Pengusaha aktiviti abseiling di Dabong, Kelantan, Wan Zonnum Al Masri Wan Ab Aziz berkata fenomena di media sosial memberi lonjakan besar kepada perniagaannya.

“Saya tawarkan aktiviti ini sejak 2019. Dulu, sebulan sekali pun dah cukup. Tapi sejak satu video dari Indonesia tular, hampir setiap minggu ada peserta,“ katanya.

Peningkatan sambutan turut membuka peluang pekerjaan kepada komuniti setempat termasuk jurugambar, juruvideo dan operator sepenuh masa.

Pihak operator menitikberatkan aspek keselamatan dengan menggunakan peralatan bertaraf antarabangsa.

“Ramai yang datang dengan perasaan takut, tapi lepas cuba mereka bukan sekadar seronok bergambar, tapi bangga sebab berjaya cabar diri,“ jelasnya.

Aktiviti ini turut ditawarkan di beberapa lokasi lain seperti Gombak di Selangor, Gopeng (Perak), Changlun (Kedah) dan Kota Tinggi (Johor). – Bernama