Bajet 2022: Peruntukan RM16 bilion bagi Kementerian Pertahanan, KDN RM17 bilion

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) masing-masing diperuntuk dana sebanyak RM16 bilion dan RM17 bilion dalam Bajet 2022.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata sebanyak RM1.6 bilion diperuntuk bagi mempertingkat kesiagaan aset utama Angkatan Tentera Malaysia dan RM14 juta untuk menggantikan peralatan utama pasukan khas laut (PASKAL) dan pasukan khas udara (PASKAU) seperti payung terjun, alat selam litar tertutup serta bot.

Beliau berkata bagi kebajikan anggota polis dan tentera, sebanyak RM230 juta disediakan untuk kerja menyelenggara sekolah dalam kem tentera, fasiliti ketenteraan dan Rumah Keluarga Angkatan Tentera termasuk penggantian serta pembaikan lif kuarters Polis Diraja Malaysia.

“Bagi memperkukuh kedaulatan negara, kerajaan akan menambah lapan pos kawalan Pasukan Gerakan Am antaranya di Pagalungan, Sabah dan Temong Mura, Sarawak bagi meningkatkan kawalan keselamatan sempadan.

“Kerajaan juga akan menambah empat pintu masuk Imigresen baharu antaranya di Telok Melano dan Baleh, Sarawak bagi memenuhi keperluan peningkatan pergerakan susulan perubahan ibu negara Indonesia ke Kalimantan dan pembukaan Lebuhraya Pan Borneo jajaran Telok Melano,” katanya.

Tengku Zafrul berkata demikian ketika membentangkan Bajet 2022 yang bertemakan Bajet 2022: Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera di Dewan Rakyat hari ini.

Selain itu, beliau berkata bagi menghadapi musim banjir monsun timur laut, kesiapsiagaan Agensi Pengurusan Bencana Negara adalah penting dan sebanyak RM100 juta diperuntuk antaranya bagi meringankan beban mangsa banjir melalui pemberian kit makanan.

Katanya kerajaan turut menyediakan peruntukan sebanyak RM20 juta bagi melaksanakan inisiatif ‘Malaysian Incentive Community Empowerment’ melalui pemberian geran sehingga RM10,000 kepada 2,000 pertubuhan yang berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia dalam kategori kebajikan, sosial, keselamatan dan hak asasi.-Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image