IPOH: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Perak menahan 12 pendatang asing tanpa izin dalam serbuan di sebuah premis makanan popular dalam kalangan pelancong di sini, hari ini.

Timbalan Pengarahnya, Sharmanrizal Rustam berkata operasi itu dilakukan 12 pegawai dan anggotanya bermula jam 8.15 pagi hingga 9.30 pagi tadi di dua peremis iaitu restoran dan asrama pekerja di tingkat atas premis berkenaan.

Katanya, seramai 23 warga asing diperiksa dalam operasi itu dengan 12 daripadanya ditahan selepas dipercayai melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Mereka yang ditahan ialah 11 lelaki warga Myanmar dan seorang wanita warga Indonesia.

“Antara kesalahan yang dikesan kerana tidak memiliki dokumen masuk sah, tinggal lebih masa dan melanggar syarat pas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 15(1)(c) akta sama Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963.

Selain itu, katanya, kes juga disiasat mengikut Akta Antipermedagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 dan Akta Pasport 1966.

Katanya, siasatanterhadap majikan dan pemilik premis perniagaan berkenaan dijalankan kerana membenarkan pendatang tanpa izin berada dalam premis mereka dan tindakan tegas boleh diambil jika terbukti melakukan kesalahan berkaitan. -Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image