BUTTERWORTH: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang, menahan seorang pemandu lori dan merampas 2,000 liter minyak diesel bersubsidi yang cuba diseleweng lelaki itu, dalam serbuan di Lorong Tanjung Indah, di sini semalam.

Pengarahnya S. Jegan berkata pasukan penguat kuasa KPDNHEP Pulau Pinang, pada mulanya mengekori sebuah lori muatan satu tan dipandu seorang lelaki yang mengisi minyak diesel di beberapa buah stesen minyak sekitar Butterworth, di sini dipercayai untuk diseleweng.

“Kami mengekori sehingga ke Lorong Tanjung Indah, iaitu lokasi lori tersebut berhenti sebelum membuat pemeriksaan ke atas kenderaan itu pada 7.20 malam, dan mendapati terdapat dua tangki plastik telah diubah suai yang berkapasiti 2,000 liter di bahagian belakangnya yang ditutup dengan kanvas.

“Selain itu, kami juga menemui sebuah lagi lori muatan tiga tan dan mempunyai empat tangki plastik berkapasiti 4,000 liter yang telah diubahsuai di belakangnya juga ditutupi dengan kain kanvas.Kedua-dua lori itu adalah milik lelaki tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jegan berkata berdasarkan siasatan awal, lelaki berusia 30-an itu berperanan membeli minyak diesel di stesen-stesen minyak sebelum ia dipercayai akan dipindahkan ke lori tangki untuk diselewengkan dengan dijual lebih mahal berbanding harga subsidi kepada pihak industri.

Pihaknya tidak menolak kemungkinan pemandu lori itu berhenti di kawasan tepi jalan tersebut dipercayai sedang menunggu seseorang untuk mengambil diesel berkenaan dipercayai menggunakan lori tangki.

“Dalam pemeriksaan itu,kami merampas 2,000 liter minyak diesel bersubsidi, dua buah lori, enam unit tangki plastik, empat pam motor dan satu pam hos yang kesemuanya bernilai RM40,700,” katanya dan menambah kes tersebut disiasat Akta Kawalan Bekalan 1961.-Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image