IPOH: Kepelbagaian lokasi, kemudahan infrastruktur dan sokongan pasukan produksi anak tempatan antara faktor yang menjadikan Perak sebagai destinasi pilihan produksi filem.

Felo Penyelidik Tamu Pertubuhan Seni Kayangan Perak (PESKAP) Mohd Rafi Jafranee, 41 berkata sesuatu produksi boleh mendapatkan kemudahan yang baik di negeri ini tanpa perlu berbelanja tinggi untuk menjalankan penggambaran.

“Lebih-lebih lagi apabila industri ini dinaikkan oleh karya Allahyarham Mamat Khalid antaranya Zombi Kampong Pisang, Hantu Kak Limah Balik Rumah yang menggunakan lokasi kampung-kampung warisan di Perak sebagai lokasi penggambaran.

“Tahun lepas sahaja banyak produksi filem datang ke sini kerana negeri ini dikatakan mudah untuk mencari lokasi serta murah termasuklah pencarian bakat-bakat yang ramai dari Perak,” katanya kepada Bernama.

Selain filem, Mohd Rafi berkata kelangsungan industri teater di negeri ini juga perlu digilap dan diberikan perhatian sewajarnya.

Katanya kerajaan negeri sentiasa memberi sokongan dan menggalakkan program yang berkaitan termasuk inisiatif Jabatan Kesenian dan Kebudayan (JKKN) menganjurkan Kelas Bimbingan Seni Budaya untuk kanak-kanak dan remaja.

“Kelas pendidikan seni ini bukanlah untuk menjadikan mereka penggiat seni semata-mata malahan pendedahan awal dapat memberi keyakinan selain kemahiran bergaul sesama rakan,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Rafi mengalu-alukan kehadiran orang ramai ke pementasan teater ‘Ratu Gambus Padang Changkat’ di Auditorium JKKN Perak selama dua hari bermula malam ini dan esok.

Katanya pementasan yang menggabungkan elemen kesenian tradisional dalam muzik, nyanyian, tarian dan lakonan itu merupakan usaha mengangkat kesenian kedaerahan di Kampung Padang Changkat, Kuala Kangsar yang terletak di belakang Istana Iskandariah Perak.

Orang ramai boleh menghubungi 017-5780294 atau 013-2802884 bagi mendapatkan pas masuk. -Bernama