the sun malaysia ipaper logo 150x150
Tuesday, November 25, 2025
26 C
Malaysia
the sun malaysia ipaper logo 150x150

JPN tarik balik rayuan, status warganegara Mohd Razwil kekal

JPN tarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang mengesahkan Mohd Razwil sebagai warganegara Malaysia

GEORGE TOWN: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang mengarahkan agensi itu mengeluarkan sijil kelahiran baharu kepada seorang lelaki tanpa kewarganegaraan.

Peguam Datuk Habib Rahman Seeni Mohideen, yang mewakili Mohd Razwil Abdullah, 41, mengesahkan perkara itu dimaklumkan kepada pihaknya pagi ini.

Beliau berkata keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Quay Chew Soon pada 14 November 2024 kini kekal.

“Dengan keputusan itu, JPN perlu mengeluarkan sijil kelahiran baharu yang menyatakan Mohd Razwil adalah warganegara Malaysia,” katanya kepada pemberita di luar Mahkamah Tinggi.

Mohd Razwil memfailkan permohonan bagi memperoleh kewarganegaraan pada 8 April 2024 selepas berjaya menjejaki wanita yang menjumpainya ketika bayi.

Rohaida Abdul Rashid, yang menjumpainya, menjadi saksi tunggal dalam kes tersebut.

Dalam penghakimannya, Quay memerintahkan JPN mengeluarkan sijil kelahiran baharu yang menyatakan Mohd Razwil sebagai warganegara Malaysia berdasarkan Perkara 14(1)(b) Perlembagaan Persekutuan.

Beliau turut mengarahkan Pendaftar Besar Kelahiran dan Kematian, JPN, Ketua Pengarah JPN dan Kerajaan Malaysia untuk mengeluarkan kad pengenalan bertaraf warganegara Malaysia kepada Mohd Razwil.

Habib Rahman berkata anak guamnya dijumpai oleh Rohaida ketika masih bayi dalam keadaan dibalut dengan tuala putih dan masih bertali pusat berdekatan dengan tong sampah di Pasar Chow Kit, Kuala Lumpur.

Mohd Razwil kemudian dijaga oleh wanita itu sehingga berumur empat tahun sebelum diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat sehingga berusia 15 tahun.

Sementara itu, Mohd Razwil yang bekerja sebagai pembantu kedai makan, mengucapkan terima kasih kepada kerajaan, Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Peguam Negara kerana menarik balik rayuan tersebut. – Bernama

Related

spot_img

Latest

RUU antibuli dibentang 1 Disember

Rang undang-undang antibuli Malaysia akan dibentang di Dewan Rakyat pada 1 Disember, menawarkan takrifan jelas buli fizikal, lisan dan dalam talian serta mekanisme pemulihan restoratif.

Most Viewed

spot_img

Popular Categories