Mahkamah Rayuan menolak rayuan Syed Saddiq dan tiga pengundi untuk semakan kehakiman cabar pemberhentian peruntukan kawasan Parlimen Muar
PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini menolak rayuan Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan tiga pengundi kawasan itu untuk mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman bagi mencabar keputusan kerajaan yang memberhentikan peruntukan kawasan Parlimen berkenaan.
Panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Hashim Hamzah dalam keputusan sebulat suara memutuskan bahawa permohonan semakan kehakiman yang difailkan perayu pada 23 April 2024 adalah jelas di luar tempoh masa ditetapkan.
Pada 24 Disember 2024, Mahkamah Tinggi telah menolak permohonan kebenaran semakan kehakiman difailkan oleh Syed Saddiq bersama Najib Abu Nawar, Mohd Bakirudin Abdullah dan Muhamad Fadzly Bisri dengan alasan ia difailkan di luar tempoh ditetapkan.
Hakim Hashim yang menyampaikan keputusan hari ini berkata pihak perayu berhujah bahawa permohonan telah dibuat dalam tempoh masa dengan mengambil kira surat bertarikh 29 Mac 2024 kepada responden.
Beliau yang bersidang bersama Hakim Datuk Azmi Ariffin dan Hakim Datuk Hayatul Akmal Abdul Aziz berkata pihak responden pula menghujahkan bahawa permohonan untuk kebenaran semakan kehakiman tersebut serta afidavit sokongan tidak menyatakan secara spesifik tarikh keputusan yang ingin dicabar.
Hakim Hashim berkata pihak responden menghujahkan tarikh sewajarnya bermula pada tarikh MUDA keluar daripada Kerajaan Perpaduan iaitu pada 10 September 2023.
“Berkaitan isu ini, kami meneliti afidavit sokongan iaitu perayu menyatakan bahawa selepas MUDA menarik diri daripada Kerajaan Perpaduan diketuai oleh responden pertama dan sejurus selepas pengumuman tersebut, akses kepada sistem myKHAS yang menguruskan permohonan peruntukan pembangunan RM2 juta untuk kawasan Parlimen Muar telah dibatalkan,” katanya pada prosiding yang berlangsung secara sidang video.
Menurut hakim itu, mahkamah juga berpendapat bahawa pihak perayu mengetahui keputusan telah dibuat berkaitan peruntukan tersebut pada tarikh MUDA keluar daripada Kerajaan Perpaduan.
“Oleh itu, kami bersetuju dengan hujahan responden bahawa tarikh keputusan ialah pada 10 September 2023 iaitu dalam tempoh tiga bulan dan tamat pada 10 Disember 2023,” kata hakim itu.
Beliau menegaskan permohonan yang difailkan pada 23 April 2024 adalah jelas di luar batasan masa yang ditetapkan.
“Kami mendapati hakim Mahkamah Tinggi tidak terkilaf dari segi fakta dan undang-undang dalam mencapai keputusan tersebut,” jelas Hashim.
“Memandangkan isu utama telah diputuskan, isu sampingan lain sudah tidak menjadi relevan,” tambahnya.
Panel mahkamah kemudian memutuskan untuk mengekalkan keputusan hakim Mahkamah Tinggi dan menolak rayuan tersebut.
“Kami tidak membuat apa-apa perintah mengenai kos memandangkan kes ini melibatkan kepentingan awam,” kata hakim itu.
Pada prosiding hari ini, peguam Lim Wei Jiet mewakili ketiga-tiga perayu manakala Peguam Kanan Persekutuan Nurhafizza Azizan mewakili Perdana Menteri dan Kerajaan Malaysia.
Dalam permohonan semakan kehakiman difailkan pada 23 April 2024, Syed Saddiq dan tiga pengundi kawasan itu memohon perintah bagi membatalkan keputusan memberhentikan atau membatalkan baki RM500,000 daripada jumlah RM1.7 juta.
Mereka turut menuntut supaya akses Syed Saddiq kepada sistem myKHAS, yang menguruskan dana pembangunan RM2 juta untuk kawasan Parlimen dikembalikan.
Selain itu, mereka mencabar tindakan responden enggan meluluskan sebarang peruntukan kepada Syed Saddiq sebagai Ahli Parlimen Muar bagi program di bawah inisiatif ‘Projek Mesra Rakyat’ atau program seumpamanya bagi 2024.
Mereka mendakwa bahawa tindakan tersebut menafikan hak kesamarataan Syed Saddiq selaku Ahli Parlimen Muar dan tiga pemohon lain sebagai pengundi kawasan Parlimen itu seperti termaktub dalam Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan. – Bernama










