Ratusan peminat pesawat berkumpul di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur untuk saksikan Air Force One bawa Presiden AS Donald Trump
SEPANG: Lawatan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump ke Malaysia sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 telah menarik perhatian ramai peminat pesawat Air Force One.
Ratusan peminat berkumpul di bawah terik mentari pagi untuk merakamkan detik penerbangan yang jarang berlaku di negara ini.
Seorang pelajar berusia 22 tahun yang ingin dikenali sebagai ‘Z’ menyatakan keterujaannya menyaksikan kapal terbang khas itu mendarat dan berlepas.
“Sangat jarang berlaku sebenarnya. Beliau antara hanya tiga presiden AS yang datang ke Malaysia,” kata pemuda dari Bangi itu yang menunggu seawal 6.30 pagi bersama rakan-rakannya.
Menurut Z, dia dan rakan-rakan menunggu beberapa jam untuk menyaksikan sendiri dan mengabadikan detik jentera ikonik biru putih itu.
“Masing-masing sibuk mengambil gambar. Ia adalah momen bersejarah. Anda tidak dapat melihat Air Force One setiap hari,” katanya.
Baginya dan rakan-rakan, ia bukan tentang politik atau dasar tetapi tentang menjadi sebahagian daripada detik yang menggabungkan bidang penerbangan, diplomasi dan sejarah.
“Sebahagian kami tidak bersetuju dengan pegangan politik beliau (Trump), kami hanya mahu melihat pesawat tersebut,” katanya.
Tinjauan Bernama mendapati puluhan peminat pesawat berkumpul di pagar Kompleks Bunga Raya dengan kelengkapan seperti tripod dan lensa untuk merakamkan foto terbaik Air Force One. – Bernama










