Hannah Yeoh dilantik sebagai Menteri di JPM (Wilayah Persekutuan) dalam rombakan kabinet, menggantikan portfolio Menteri Belia dan Sukan.
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) yang baharu.
Pelantikan itu mengikuti rombakan Kabinet Kerajaan MADANI yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Hannah, 46, sebelum ini memegang portfolio Menteri Belia dan Sukan yang kini diterajui Ahli Parlimen Sungai Petani Dr Mohammed Taufiq Johari.
Beliau pernah mencipta sejarah sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor dari 2013 hingga 2018.
Jawatan itu menjadikannya wanita pertama dan paling muda dilantik sebagai Speaker DUN.
Berpengalaman luas dalam pentadbiran, Hannah sebelum ini dilantik sebagai Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat pada 2018.
Beliau mula menggalas jawatan Menteri Belia dan Sukan pada 2022.
Hannah juga ialah Timbalan Setiausaha Agung Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP bagi penggal 2025–2028.
Beliau mula terbabit dalam politik selepas menyertai DAP pada 2006 dan merupakan bekas peguam.
Hannah pernah berkhidmat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Subang Jaya selama dua penggal bermula 2008.
Beliau beralih ke peringkat Parlimen pada 2018 selepas memenangi kerusi Segambut.
Sepanjang menerajui Kementerian Belia dan Sukan, Hannah menumpukan kepada isu gangguan seksual serta keselamatan atlet.
Beliau menekankan keperluan siasatan telus, perlindungan mangsa dan pelaksanaan kod tatakelakuan dalam persatuan sukan.
Ketika berkhidmat sebagai Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, beliau lantang bersuara berhubung isu perkahwinan bawah umur.
Hannah juga memperjuangkan penggubalan undang-undang berkaitan gangguan seksual.
Beliau kerap menyuarakan pandangan mengenai hak kanak-kanak tanpa kewarganegaraan.
Hannah pernah mencadangkan penubuhan sebuah agensi atau kementerian khas bagi memberikan fokus kepada isu kanak-kanak.
Pada Pilihan Raya Umum ke-15, beliau mempertahankan kerusi Parlimen Segambut bagi penggal kedua berturut-turut.
Beliau menewaskan dua pencabar dengan majoriti 59,684 undi. – Bernama







