Tiga rumah separuh kekal dan lima kenderaan musnah dalam kebakaran di Jalan Kampung Sungai Putat Melaka tanpa kemalangan jiwa.
MELAKA: Tiga rumah separuh kekal dan lima kenderaan musnah terbakar dalam kejadian di Jalan Kampung Sungai Putat petang semalam.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Melaka melaporkan rumah pertama mengalami kerosakan 80 peratus manakala rumah kedua 20 peratus dan rumah ketiga 10 peratus.
Kebakaran berlaku kira-kira jam 6.15 petang dengan jabatan bomba menerima panggilan kecemasan pada 6.35 petang.
Sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Keroh tiba di lokasi kejadian pada 6.44 petang.
Operasi pemadaman turut dibantu oleh Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Katil dengan 17 anggota terlibat.
Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian kebakaran ini.
Api berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 7.03 petang manakala operasi tamat pada 9.20 malam.
Sebuah Honda Civic dan tiga motosikal terbakar 95 peratus manakala sebuah Perodua Alza terbakar 50 peratus. – Bernama










