KUCHING: Malaysia akan menyertai Konvensyen Hak Kanak-Kanak (CRC) di Geneva, Switzerland, bagi membentangkan usaha negara dalam menangani cabaran keselamatan digital dan kesihatan mental dalam kalangan kanak-kanak.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) Datuk Seri Nancy Shukri berkata penyertaan tersebut memberi peluang kepada Malaysia untuk berkongsi tindakan yang telah diambil dan yang akan dilaksanakan, selain menerima input daripada negara lain.
“Saya sering menyebut tentang peranan kementerian, iaitu melalui advokasi dari sekolah ke sekolah, untuk memberi kesedaran dan pendedahan kepada para pelajar, guru, dan ibu bapa supaya mereka memahami kesan serta maklumat yang berlaku apabila anak-anak terdedah kepada media sosial,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Anugerah Cemerlang 2024 Pejabat Pendidikan Daerah Kuching di sini hari ini.
Nancy turut menyatakan bahawa KPWKM bekerjasama rapat dengan Kementerian Pendidikan untuk melaksanakan program-program yang menangani isu kesihatan mental golongan muda, antaranya Program Remaja, yang memberi ruang kepada golongan muda untuk menyuarakan permasalahan mereka.
“Kita juga mempunyai kaunselor yang terlatih untuk menangani isu ini, sebab itu saya mempromosikan talian 15999 supaya mereka boleh dihubungkan dengan kaunselor yang relevan, khususnya bagi isu tekanan mental. Ini bukan sahaja melibatkan kanak-kanak, tetapi juga masyarakat keseluruhannya,” jelasnya.
Menurut Nancy, Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS) kini semakin mendapat sambutan dan telah diperluaskan atas permintaan pelbagai pihak, termasuk kerajaan, sektor swasta, dan NGO. Beliau menambah, sekiranya ada individu yang memerlukan rawatan lanjut, perkara tersebut akan dibincangkan bersama dan disusun atur bagi memastikan rawatan yang sewajarnya dapat diberikan- BERNAMA