KUALA LUMPUR: Tokoh pendidikan dan pengasas Sri Murugan Centre (SMC) Tan Sri Dr M. Thambirajah meninggal dunia hari ini pada usia 83 tahun.
Pengarah bersama SMC Surain Kanda ketika dihubungi Bernama berkata orang ramai boleh memberikan penghormatan terakhir di SMC Ashramam, Petaling Jaya, dari 10 pagi hingga 2 petang esok sebelum upacara persemadian di Nirwana Setia Alam pada 3 petang.
“Tan Sri bukan sekadar seorang pemimpin; beliau seorang yang berwawasan ... . Usaha beliau telah mengubah kehidupan ribuan orang,” katanya.
Dilahirkan pada 1942, Thambirajah menubuhkan SMC pada 1982 dengan matlamat untuk memperkasakan pelajar India.
Pernah berkhidmat sebagai pensyarah kanan di UM dan menulis beberapa buku termasuk buku teks sejarah bertajuk Malaysia Dalam Sejarah.
Beliau dikurniakan gelaran Tan Sri pada 2012 dan merupakan penerima “Pravasi Bharatiya Samman”, iaitu anugerah tertinggi bagi warga India di luar negara.
Thambirajah juga pernah berkhidmat dalam badan penasihat utama negara termasuk Pasukan Petugas Pelaksanaan Khas bagi Masyarakat India dan Majlis Sosial di bawah Jabatan Perdana Menteri.
Mendiang meninggalkan isteri Puan Sri Indirani Arunasalam, dua cahaya mata Dr Sumitra Thambirajah dan Anannd Thambirajah, serta dua cucu.
Ucapan takziah dan penghormatan dalam bentuk kalungan bunga boleh dihantar ke SMC Ashramam, No. 40, Jalan Bukit 11/2, Petaling Jaya, Selangor.