KOTA KINABALU: Lebih tiga puluh ribu pekebun kecil di Sabah telah menerima pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) melibatkan lebih 191,000 hektar sehingga April 2025.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor menyatakan jumlah itu mewakili kadar pensijilan sebanyak 97.62 peratus iaitu antara yang tertinggi di seluruh negara.
“Ia menunjukkan kemajuan kolektif dan menekankan mengenai kepentingan kerjasama berterusan antara agensi kerajaan, pemain industri dan pekebun kecil bagi mengekalkan serta mengembangkan pengeluaran minyak sawit yang mampan.”
Beliau menegaskan amat penting bagi Malaysia untuk meningkatkan usaha pensijilan dan kebolehkesanannya untuk terus mengekalkan pengiktirafan dan kredibilitinya dalam kalangan pemegang taruh.
“Di Sabah, kami telah mencapai kemajuan apabila kira-kira 97 peratus daripada kawasan penanaman dan lebih 92 peratus di Sarawak kini diperakui di bawah MSPO.”
Hajiji berkata kerajaan negeri telah melaksanakan Pendekatan Bidang Kuasa untuk Minyak Sawit Lestari yang dilancarkan pada 2015 bagi mencapai pengeluaran mampan 100 peratus menjelang 2030.
“Pendekatan ini menyelaraskan cita-cita Sabah dengan piawaian kebangsaan dan antarabangsa seperti MSPO, RSPO dan Peraturan Pembasmian Hutan Kesatuan Eropah (EUDR).”
Sabah mengekalkan kepimpinannya dengan 1.48 juta hektar di bawah penanaman dan pengeluaran tahunan minyak sawit mentah melebihi 4.2 juta tan.
Lebih 55 peratus daripada jumlah kawasan tanaman kelapa sawit negara terletak di Sabah dan Sarawak menjadikan Malaysia pengeluar minyak sawit kedua terbesar di dunia.
Industri minyak sawit secara langsung dan tidak langsung menjadi mata pencarian kepada lebih 300,000 rakyat Malaysia dan menyokong lebih 85,000 pekebun kecil.
“Ia telah membentuk semula landskap kawasan luar bandar, membawa bersamanya infrastruktur penting, daripada jalan raya, sekolah, klinik dan ketersambungan digital.” – Bernama









