Paus Leo XIV menegaskan hak rakyat Palestin hidup aman di tanah mereka, ulangi sokongan terhadap penyelesaian dua negara dan kritik keganasan
VATICAN CITY: Paus Leo XIV (gambar) pada Jumaat menegaskan bahawa orang awam Palestin mempunyai hak untuk hidup dengan aman di tanah mereka di Tebing Barat dan Semenanjung Gaza, sambil mengulangi sokongan “Holy See” terhadap penyelesaian dua negara, lapor Agensi Berita Palestin (WAFA).
Dalam satu pertemuan rasmi, Paus Leo XIV berkata “penderitaan kemanusiaan yang dialami orang awam berterusan walaupun gencatan senjata diumumkan pada Oktober, menambah lagi kesusahan yang mereka hadapi. “Holy See” mengikuti rapat setiap inisiatif diplomatik yang bertujuan memastikan masa depan keamanan berkekalan dan keadilan untuk rakyat Palestin di Gaza, untuk semua rakyat Palestin, dan untuk semua rakyat Israel.”
Menurut beliau, “pada asasnya, penyelesaian dua negara kekal sebagai rangka kerja institusi yang mampu memenuhi aspirasi sah kedua-dua pihak.
Namun malangnya, kita kini menyaksikan peningkatan keganasan di Tebing Barat terhadap orang awam Palestin, yang mempunyai hak untuk hidup dengan aman di tanah mereka.”
Paus Leo XIV turut mengkritik kemunculan semula perang, dengan menyifatkannya sebagai “seolah-olah menjadi satu trend”, sambil menyatakan bahawa ketenteraan semakin meningkat dan multilateralisme di peringkat antarabangsa semakin lemah.
Beliau menekankan bahawa diplomasi yang menggalakkan dialog dan konsensus semakin digantikan oleh “diplomasi kekerasan”, yang dilakukan oleh pihak tertentu atau kumpulan sekutu.
“Prinsip yang diwujudkan selepas Perang Dunia Kedua, yang melarang negara menggunakan kekerasan untuk menceroboh sempadan negara lain, telah dicabuli.
Keamanan tidak lagi dicari sebagai anugerah atau nilai pada dirinya; sebaliknya ia dituntut melalui kekuatan senjata sebagai cara untuk menguatkuasakan dominasi dan kedaulatan,” katanya.
Paus Leo XIV memberi amaran bahawa trend ini menjejaskan kedaulatan undang-undang, yang beliau sifatkan sebagai asas kepada semua bentuk kewujudan bersama yang bertamadun dan aman.








