Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bersedia menyalurkan bantuan kepada mangsa insiden letupan gas di Universiti HELP yang meragut nyawa seorang pelajar.
PUTRAJAYA: Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bersedia menyalurkan bantuan kepada mangsa insiden letupan gas penyaman udara di Universiti HELP pada Isnin lepas.
Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R Ramanan berkata bantuan awal dikendalikan Kementerian Pendidikan Tinggi kerana mangsa adalah pelajar.
“PERKESO dan KESUMA akan menyediakan sokongan tambahan,” katanya selepas menghadiri majlis di sini hari ini.
Beliau berkata mangsa yang terlibat mengalami kecederaan parah dan masih berada dalam keadaan kritikal di hospital.
“Doa kita bersama mereka agar cepat sembuh,” katanya.
Kejadian pada 12 Januari itu meragut nyawa seorang pelajar praktikal Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) berusia 24 tahun.
Letupan itu turut mencederakan sembilan individu lain, termasuk empat pelajar.
Sementara itu, laporan siasatan insiden letupan itu dijangka diperoleh dalam tempoh dua minggu.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Datuk Ahmad Izram Osman berkata pasukan forensik masih menjalankan siasatan.
Mereka meneliti rakaman percakapan, memeriksa peralatan serta mengambil sampel lokasi untuk analisis.
Sesetengah sampel mungkin dirujuk ke makmal kimia bertauliah luar.








