Suhu di Jeli, Kelantan catat serendah 19°C akibat Monsun Timur Laut, wujudkan suasana seakan kawasan tanah tinggi pada awal pagi
JELI: Suhu sejuk serendah 19 darjah Celsius yang dirasai penduduk di daerah Jeli kebelakangan ini merupakan kejadian bermusim dan masih dalam julat suhu yang pernah direkodkan, kata Pensyarah Kanan Fakulti Sains Bumi (FSB) Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Dr Siti Hajar Ya’acob.
Beliau berkata penurunan suhu itu dipengaruhi oleh Monsun Timur Laut yang sedang aktif, yang membawa aliran udara lebih sejuk dari tanah besar Asia ke rantau ini.
Siti Hajar berkata keadaan langit yang lebih cerah pada waktu malam turut menyumbang kepada proses penyejukan semula jadi, khususnya di kawasan pedalaman.
“Daerah Jeli yang terletak berhampiran Banjaran Titiwangsa mempunyai altitud lebih tinggi berbanding kawasan pantai menjadikannya lebih terdedah kepada suhu minimum yang rendah, terutama pada awal pagi.
“Walaupun suhu sekitar 19 darjah Celsius dianggap rendah bagi negeri Kelantan, ia masih dalam julat variasi cuaca yang pernah direkodkan, khususnya semasa tempoh monsun kuat,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Siti Hajar berkata keadaan itu bukan luar biasa dan pernah terjadi dalam beberapa episod cuaca tertentu sebelum ini dengan unjuran semasa menunjukkan ia akan berlaku secara sementara antara beberapa hari hingga satu atau dua minggu, bergantung kekuatan monsun dan perubahan sistem atmosfera setempat.
“Cuaca sejuk berkenaan boleh menyebabkan ketidakselesaan ringan serta meningkatkan risiko selesema dan masalah pernafasan, terutamanya dalam kalangan kanak-kanak dan warga emas,” katanya.
Beliau berkata orang ramai dinasihatkan supaya memakai pakaian yang bersesuaian, mengurangkan pendedahan kepada udara sejuk pada awal pagi serta menjaga kesihatan dan hidrasi.
“Dalam sektor pertanian, suhu yang lebih sejuk boleh memberi kesan bercampur, sama ada memperlahankan pertumbuhan tertentu atau mengurangkan tekanan haba terhadap tanaman. Secara keseluruhan, ekosistem tempatan dijangka mampu menyesuaikan diri tanpa kesan besar,” katanya.
Siti Hajar berkata fenomena ini tidak boleh dikaitkan secara langsung dengan perubahan iklim, namun variasi cuaca yang lebih ketara dari semasa ke semasa menunjukkan keperluan pemantauan berterusan terhadap corak cuaca di Malaysia.
Beliau berkata orang ramai diminta mendapatkan maklumat cuaca terkini daripada saluran rasmi dan tidak membuat spekulasi yang boleh menimbulkan kebimbangan awam.
Sementara itu, Ketua Program Sains Kelestarian Alam Sekitar FSB UMK Dr Amal Najihah Muhamad Nor berkata suhu di Jeli ketika ini hampir menyamai suhu di Cameron Highlands, sekali gus menjadikan pengalaman itu sesuatu yang baharu bagi penduduk setempat.
“Sepanjang saya berada di Jeli sejak 2012, inilah kali pertama saya merasai cuaca sejuk pada tahap sebegini. Sebelum ini kita hanya dengar keadaan sama di Kuala Krai tetapi kini Jeli turut mengalaminya. Jadi tak perlu pergi ke Cameron Highlands, di Jeli pun sudah rasa sejuk,” katanya.
Beliau berkata cuaca sejuk turut berpotensi menjadi tarikan pelancongan dari Disember hingga Mac, selain destinasi menarik yang ada di sekitar Jeli.
Mahasiswa Sarjana Sains (Kelestarian Alam Sekitar) FSB UMK Farah Nabila Ahmad, 26, berkata perbezaan suhu itu ketara apabila dibandingkan dengan kawasan lain seperti Pulau Pinang yang kekal panas walaupun pada waktu malam, berbeza dengan Jeli yang mencatatkan suhu sejuk sehingga memerlukannya menyediakan air panas untuk mandi pada waktu pagi.
“Perubahan corak cuaca itu jelas berbeza berbanding tahun-tahun sebelumnya apabila keadaan sejuk kini berlaku tanpa disertai hujan lebat, khususnya pada waktu malam,” katanya.
Seorang lagi mahasiswa Sarjana Muda Sains Gunaan (Sains Kelestarian Alam Sekitar) FSB UMK, Muhamad Zammil Hakim Mohamad Noor Sabri, 23, berkata cuaca sejuk kebelakangan ini merupakan antara yang paling ketara sepanjang tiga tahun tinggal di daerah berkenaan.
Beliau berkata keadaan paling mencabar adalah ketika mandi dan mengambil air sembahyang untuk solat subuh berikutan rumah sewa yang didiaminya menggunakan air bukit tanpa kemudahan pemanas air, selain terpaksa tidur memakai pakaian tebal dan berselimut bagi menyesuaikan diri dengan suhu rendah.
Pesara kerajaan Mohd Arzmi Hassan, 67, berkata cuaca sejuk luar biasa itu dirasai sejak beberapa hari lepas, terutama pada awal pagi dan lewat malam, sehingga menyebabkan tingkap rumah terpaksa ditutup rapat bagi mengelakkan angin sejuk masuk.
“Sudah lama saya menetap di Jeli tetapi kali ini memang terasa lain. Waktu pagi sejuknya macam di Genting Highlands, sampai berwap nafas,” katanya.
Tinjauan Bernama di sekitar daerah Jeli mendapati kabus tebal pada awal pagi susulan cuaca sejuk kebelakangan ini, mewujudkan suasana seakan kawasan tanah tinggi, selain mengehadkan jarak penglihatan di beberapa lokasi tertentu, tetapi tidak menjejaskan aktiviti harian penduduk secara ketara.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Dr Mohd Hisham Mohd Anip pada 14 Jan lepas berkata angin sejuk luruan monsun dari Tanah Besar China dikenal pasti sebagai punca suhu di beberapa kawasan di Malaysia menurun sehingga merekodkan 18 darjah Celsius sejak 10 Jan lepas.








