Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi gesa rakyat Malaysia di India ambil langkah berjaga-jaga terhadap virus Nipah, termasuk pakai pelitup muka dan jaga kebersihan.
NEW DELHI: Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi menggesa rakyat Malaysia yang melancong atau menetap di India supaya mengambil langkah berjaga-jaga terhadap jangkitan virus Nipah.
Nasihat itu menyarankan pemakaian pelitup muka di kawasan awam bagi mengurangkan pendedahan kepada titisan cecair.
Mereka juga dinasihatkan mengelak kawasan sesak dan mengekalkan kebersihan diri yang ketat.
“Warganegara Malaysia digalakkan untuk sentiasa maklum dan mengambil semua langkah berjaga-jaga yang disyorkan demi kepentingan kesihatan dan keselamatan mereka,” menurut kenyataan suruhanjaya itu.
Suruhanjaya Tinggi turut memberi amaran agar tidak bersentuhan dengan haiwan yang sakit atau individu yang menunjukkan gejala seperti demam, sakit kepala, batuk, atau kesukaran bernafas.
Mereka juga diminta mengelak makan buah-buahan yang tidak dibasuh atau makanan yang mungkin tercemar.
Kementerian Kesihatan India telah mengesahkan dua kes Nipah di negeri West Bengal.
Pihak berkuasa melaporkan wabak itu telah berjaya dikawal pada Selasa.
Walau bagaimanapun, wabak itu mendorong banyak negara Asia, termasuk Malaysia, untuk melaksanakan saringan terhadap pengembara dari India.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), jangkitan virus Nipah adalah penyakit zoonotik yang menular kepada manusia daripada haiwan.
Virus ini boleh merebak melalui makanan tercemar atau secara langsung melalui hubungan sesama manusia.
Virus Nipah boleh mengeram di dalam badan manusia biasanya dari 4 hingga 14 hari.
Tiada rawatan atau vaksin yang tersedia untuk manusia mahupun haiwan.








