KOTA BHARU: Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara menggagalkan cubaan menyeludup masuk produk kosmetik dari negara jiran dengan penahanan empat lelaki bersama-sama barangan terbabit bernilai RM90,400 di pangkalan haram Pak Teh Kana, Jeram Perdah, Pasir Mas, malam tadi.
Komander Briged Tenggara PGA Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata kegiatan itu dikesan selepas sepasukan anggota Batalion 7 ternampak beberapa lelaki di tepi sungai dalam keadaan mencurigakan semasa membuat rondaan Op Taring Wawasan Kelantan pada 11.30 malam.
“Kesemua suspek bertindak melarikan diri setelah menyedari kehadiran anggota PGA dan pemeriksaan kemudian menemukan lebih 452 kotak produk kosmetik dipercayai dari Thailand tanpa dokumen yang sah,“ katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 7(1) (E) Peraturan-peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.
Dalam kes lain, Nik Ros Azhan berkata anggota Batalion 8 turut menumpaskan kegiatan penyeludupan 600 liter minyak petrol di Kampung Pulau Ular, Pengkalan Kubor, Tumpat, pada 11.30 malam tadi.
Beliau berkata rampasan dilakukan selepas pihaknya memeriksa sebuah kenderaan pacuan empat roda yang ditinggalkan di tepi jalan dan pemeriksaan di dalam kenderaan menemukan 20 tong mengandungi lebih 600 liter minyak petrol dipercayai untuk diseludup ke negara jiran.
“Kenderaan dirampas dianggar bernilai RM30,000 manakala minyak petrol bernilai RM1,230 dan kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.








