KUALA LUMPUR: Kerajaan komited meningkatkan kemampanan fiskal melalui strategi yang komprehensif merangkumi pengurusan hutang secara berhemat serta pemantauan teliti ke atas liabiliti luar jangka dan entiti kuasi-fiskal.
Menurut Kementerian Kewangan (MoF) dalam laporan Tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan 2025 yang dikeluarkan hari ini, kerajaan juga akan terus memberikan tumpuan untuk menginstitusikan dan mengukuhkan rangka kerja tadbir urus, meningkatkan ketelusan serta memastikan penetapan dasar fiskal yang bertanggungjawab.
“Langkah proaktif tersebut dapat memperkukuh daya tahan Malaysia dalam mendepani kejutan fiskal, melindungi ruang fiskal dan mengekalkan trajektori konsolidasi fiskal, justeru, Malaysia mampu untuk merealisasikan agenda pembangunan nasional demi kesejahteraan rakyat selaras dengan aspirasi Ekonomi MADANI,“ demikian menurut MoF.
Kementerian itu berkata Malaysia mempunyai pasaran domestik yang dinamik, namun ia masih terdedah kepada cabaran luaran seperti ketidaktentuan dasar global, ketegangan geopolitik yang berterusan serta turun naik harga komoditi dan pasaran kewangan, sekali gus memerlukan penekanan ke atas kepentingan pengurusan risiko fiskal yang berhemat oleh kerajaan.
Mengambil kira kemungkinan risiko tersebut, Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 [Akta 850] yang diluluskan di Parlimen pada 11 Oktober 2023, menyediakan rangka kerja komprehensif untuk menguruskan risiko fiskal bagi memastikan kestabilan kedudukan fiskal.
“Rangka kerja ini menyediakan rujukan bagi pengurusan ke atas aspek kritikal dalam kewangan awam terutamanya pengurusan hutang, ketelusan serta tadbir urus liabiliti luar jangka. Selain itu, kerajaan telah memperbaiki kaedah pelaporan iaitu peluasan takrifan bagi jaminan kewangan.
“Tambahan, satu rangka kerja baharu untuk pengurusan kerjasama awam swasta serta garis panduan pentadbiran entiti kuasi-fiskal telah diperkenalkan selaras dengan aspirasi Ekonomi MADANI bagi mencapai keseimbangan antara perkembangan ekonomi dengan disiplin fiskal melalui pendekatan seluruh negara,“ katanya.
MoF berkata sejak 2019, Malaysia komited dalam melaporkan pendedahan hutang dan liabiliti Kerajaan selaras dengan piawaian dan keperluan statistik di bawah Piawaian Perakaunan Sektor Awam Antarabangsa (IPSAS) dan Public Sector Debt Statistics oleh IMF.
Pelaporan keseluruhan liabiliti terdiri daripada Hutang Kerajaan Persekutuan, komitmen jaminan serta komitmen kewangan daripada projek kerjasama awam swasta (PPP), inisiatif pembiayaan swasta (PFI) dan PBLT Sdn Bhd (PBLT).
Menurut laporan tersebut, sehingga akhir Jun 2024, hutang dan liabiliti adalah berjumlah RM1,596.8 bilion atau 82.1 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Sehingga akhir Jun 2024, jumlah komitmen kewangan terkumpul merangkumi 104 projek PPP di bawah model pembiayaan bersama meningkat sebanyak 7.8 peratus kepada RM93.5 bilion (2023: RM86.7 bilion). Peningkatan ini disumbang oleh pembaharuan konsesi bekalan perubatan dan platform perkhidmatan panggilan kecemasan yang disatukan.
Manakala, sehingga akhir Jun 2024, obligasi kewangan PFI direkodkan berjumlah RM43.8 bilion (2023: RM44.7 bilion) dan PBLT yang ditubuhkan pada tahun 2005 dengan mandat bagi melaksanakan projek yang bertujuan untuk meningkatkan kesejahteraan anggota polis, telah hampir menyiapkan kesemua projeknya dan hampir melunaskan obligasi sukuk dengan baki tanggungan sehingga akhir Jun 2024 adalah sebanyak RM0.6 bilion (2023: RM2.3 bilion).
MoF berkata penggubalan Akta 850 merupakan langkah tegas kerajaan menginstitusikan tanggungjawab pengurusan risiko fiskal dalam rangka kerja formal.
“Akta 850 memperluaskan takrifan jaminan, memberikan mandat bagi keperluan penerbitan garis panduan pengurusan jaminan yang menetapkan tanggungjawab Menteri serta buat julung kali menentukan had ke atas jaminan oleh kerajaan sebanyak 25 peratus daripada KDNK selain turut memberikan punca kuasa bagi menubuhkan jawatan kuasa kecil baharu laitu Jawatankuasa Risiko Fiskal, Hutang dan Liabiliti bertujuan untuk mempertingkatkan tata kelola dalam pengurusan risiko,“ jelas kementerian.









