KUALA LUMPUR: Seorang penghantar barang mengaku tidak bersalah di dua Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas tiga pertuduhan merompak barang kemas bernilai RM37,000 milik tiga warga asing sekitar Bukit Bintang, antara Mei dan Julai.
Di hadapan Hakim Izralizam Sanusi, Mohd Fazil Mohamad Khalid, 41, berdepan pertuduhan merompak warga India Lavanya Narayan, dengan mengambil seutas rantai leher emas milik wanita itu bernilai RM12,000 dan merompak seutas rantai leher serta loket emas bernilai RM20,000 milik lelaki warga Itali Marino Francisco Darnley.
Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di dua lokasi berasingan di Bukit Bintang di sini pada 10.58 malam, 19 Jun dan 10.15 malam, 9 Julai mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan boleh didenda atau sebat, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Nor Aisyah Mohamed Zanyuin tidak menawarkan jaminan, namun sekiranya mahkamah membenarkan jaminan pihaknya memohon tertuduh diikat jamin RM30,000 bagi setiap pertuduhan berserta syarat tambahan perlu melapor diri di balai polis berdekatan sebulan sekali, sehingga kes selesai.
Di hadapan Hakim Dr Azrol Abdullah, Mohd Fazil didakwa merompak warga India Imran Arshad dengan meragut seutas rantai leher serta loket emas milik lelaki itu bernilai RM5,000 di hadapan Menara Genesis, Bukit Bintang pada 12.07 malam, 27 Mei lepas mengikut seksyen dan hukuman serupa.
Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Muhairi Mohamed Noh menawarkan jaminan RM12,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tidak mengganggu mangsa sehingga kes selesai.
Peguam Mohd Fikah Sanusi yang mewakili tertuduh di kedua-dua mahkamah memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya menanggung keluarga selain tidak membantah syarat tambahan tersebut.
Hakim Izralizam membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan berserta syarat tambahan seperti dimohon pihak pendakwaan, manakala Hakim Azrol membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000.
Tarikh sebutan bagi kesemua kes ditetapkan pada 24 Sept.









