RTM memohon maaf atas kesilapan pengulas yang salah sebut nama Presiden Indonesia Prabowo Subianto semasa siaran langsung Sidang Kemuncak ASEAN.
KUALA LUMPUR: Jabatan Penyiaran Malaysia memohon maaf atas kesilapan pengulas yang tersilap menyebut nama Presiden Indonesia semasa siaran langsung majlis perasmian Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.
Radio Televisyen Malaysia (RTM) memandang serius perkara tersebut dan telah mengambil tindakan sewajarnya, menurut kenyataan jabatan itu.
“Berdasarkan siasatan dalaman, terdapat kesilapan oleh pengulas siaran yang telah menyebut nama Presiden Indonesia sebagai Joko Widodo, sedangkan Presiden sekarang ialah Prabowo Subianto,” menurut kenyataan tersebut.
“RTM dengan ini memohon maaf kepada Presiden dan Kerajaan Republik Indonesia, serta semua pihak yang terkesan akibat kesilapan ini.”
Jabatan itu berkata RTM akan terus meningkatkan kawalan editorial dan semakan fakta untuk memastikan ketepatan dan integriti dalam setiap maklumat yang disampaikan.
Majlis yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim itu dihadiri oleh semua pemimpin ASEAN, termasuk Prabowo.
Hadir sama Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Antonio Guterres, Presiden Majlis Eropah Antonio Costa, dan Perdana Menteri Kanada Mark Carney.
Juga hadir Presiden Brazil Luiz Inacio Lula da Silva, Presiden Afrika Selatan Matamela Cyril Ramaphosa, serta Naib Presiden Bank Dunia bagi Rantau Asia Timur dan Pasifik Carlos Felipe Jaramillo.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 berlangsung dari 26 hingga 28 Oktober di bawah tema Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025, “Keterangkuman dan Kemampanan.” – Bernama










