Monday, October 27, 2025
29.4 C
Malaysia
spot_img

Dua pegawai bank didakwa terima rasuah lebih RM100,000

The Sun Webdesk

Dua pegawai bank mengaku tidak bersalah atas pertuduhan rasuah lebih RM100,000 untuk proses pembiayaan peribadi melebihi had kelayakan

KUANTAN: Dua pegawai bank telah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan rasuah keseluruhan lebih RM100,000 sebagai upah memproses permohonan pembiayaan peribadi pelanggan yang melebihi had kelayakan.


Irfan Syafiq Hafizi Mohd Riduan, 30, dan Nurul Hidyatul Asyikin Zolkeple, 34, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Sazlina Safie.


Irfan Syafiq Hafizi yang bekerja sebagai pegawai pemasaran sebuah bank di Damansara, Selangor didakwa dengan 14 pertuduhan selepas menerima wang berjumlah RM99,030.22 secara pindahan dalam talian ke dalam akaun bank milik peribadi daripada beberapa akaun individu dan syarikat.


Wang tersebut diterima sebagai upah untuk membantu memproses permohonan pembiayaan pinjaman peribadi pelanggan yang menyebabkan pelanggan mempunyai beberapa pinjaman peribadi melebihi had kelayakan.


Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah bank di Kuantan dari 6 Jun 2023 hingga 6 Disember 2024.


Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum dengan penjara maksimum 20 tahun dan didenda lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000.


Nurul Hidyatul Asyikin didakwa dengan empat pertuduhan rasuah berjumlah RM10,802.51.


Dia yang ketika itu bertugas sebagai Eksekutif Pembiayaan Pengguna di sebuah bank di Bandar Baru Bangi, Selangor didakwa secara rasuah menerima RM10,802.51 daripada akaun seorang lelaki berusia 29 tahun dan beberapa syarikat.


Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah bank di Kuantan antara 6 Jun 2024 hingga 9 September 2024 mengikut Seksyen dan Akta yang sama.


Timbalan Pendakwa Raya SPRM Ezuain Farhana Ahmad mengesyorkan jaminan RM20,000 bagi Irfan Syafiq Hafizi dan RM10,000 untuk Nurul Hidyatul Asyikin dengan syarat tambahan.


Hakim kemudian membenarkan Irfan Syafiq Hafizi yang diwakili peguam Chua Yong Yi diikat jamin RM12,000.


Nurul Hidyatul Asyikin yang diwakili peguam M.Maran dijamin RM7,000 dengan syarat tambahan seperti yang dikemukakan pihak pendakwaan.


Mahkamah menetapkan tarikh sebutan semula kes 9 Disember ini bagi Irfan Syafiq Hafizi dan 12 Disember bagi Nurul Hidyatul Asyikin. – Bernama

Related

spot_img

Latest

HKBU’s CLAP-TECH Report Urges Integration of VPET into Schools to Empower Students with Skills, Career Readiness, and Diverse Pathways

Led by HKBU and funded by The Hong Kong Jockey Club Charities Trust, the CLAP-TECH initiative showcases how Vocational and Professional Education and Training (VPET) empowers secondary students with practical skills, diverse pathways, and stronger career readiness.
spot_img

Popular Categories

spot_imgspot_img