the sun malaysia ipaper logo 150x150
Tuesday, June 23, 2026
21.6 C
Malaysia
the sun malaysia ipaper logo 150x150

KP Selangor: Polis belum dapat sahkan pemilik bagasi berisi RM500,000

SHAH ALAM: Polis belum dapat mengesahkan sama ada bagasi berisi wang tunai lebih RM500,000 yang ditemukan di tempat letak kereta di sebuah pusat beli-belah di Damansara pada Rabu lepas adalah milik sebuah syarikat teknologi maklumat.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan (gambar) berkata selagi pengarah syarikat terbabit tidak tampil memberi keterangan, pihaknya tidak boleh mengesahkan status wang itu dan ia tidak boleh dituntut atau diserahkan kepada mana-mana pihak.

“Kita ada terima laporan dari seorang individu yang mengaku pengarah sebuah syarikat jenis teknologi maklumat dan mendakwa wang berkenaan milik syarikat itu tetapi malangnya selepas beberapa hari, pengadu masih gagal hadir ke balai atas pelbagai alasan.

“Jadi kita masih belum dapat mengesahkan duit itu kepunyaan syarikat terbabit selagi pengadu tidak tampil memberi keterangan,“ katanya kepada pemberita selepas Perhimpunan Peringatan Hari Polis ke-217 peringkat Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini hari ini.

Hussein berkata wang itu tidak boleh dituntut begitu sahaja tanpa pihak berkenaan memberikan bukti dan rekod yang jelas kepada pihak polis.

Media sebelum ini melaporkan, seorang pengawal keselamatan menemukan bagasi berisi wang tunai berjumlah lebih RM500,000 di tempat letak kereta di sebuah pusat beli-belah di Damansara.

Semalam, pengawal keselamatan berusia 30-an itu membuat laporan polis mengenai penemuan bagasi berwarna merah jambu dan putih bersaiz sederhana yang dijumpainya pada 8 pagi, 20 Mac lepas.

Berhubung perkembangan siasatan kes pukul seorang anggota polis hingga maut dua hari lepas, Hussein berkata keberadaan mangsa di sebuah pangsapuri di Taman Impian Indah, Kajang itu dipercayai untuk menziarahi ahli keluarga sebelum ditemukan maut.

Beliau berkata siasatan mendapati anggota yang berkhidmat dengan Kontinjen Kuala Lumpur itu tinggal di Kuarters Polis Sungai Besi, Cheras dan sebelum menziarahi ahli keluarganya dipercayai berlaku pertengkaran antara mangsa dan isteri.

“Tiada sebarang senjata dijumpai di lokasi kejadian dan orang awam yang mempunyai maklumat serta melihat kejadian diminta tampil untuk membantu siasatan,” katanya.

Semalam, lima lelaki berusia 19 hingga 23 tahun ditahan untuk membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. –Bernama

STAY AHEAD OF THE CURVE

Join our community for instant updates and exclusive content.

Join Telegram Channel

Related


spot_img

Latest News

Most Viewed

spot_img
WC26

World Cup 2026

Updates, Fixtures, Results & Standings