the sun malaysia ipaper logo 150x150
Thursday, June 25, 2026
29.2 C
Malaysia
the sun malaysia ipaper logo 150x150

Kerajaan cadang hantar pelajar Malaysia ikuti TVET di China – Ahmad Zahid

TOKYO: Kerajaan berhasrat menghantar pelajar Malaysia mengikuti pengajian dalam bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di China selaras dengan Dasar Pandang Ke Timur 2.0.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata perancangan itu adalah antara usaha kerajaan dalam memperkasa TVET negara selepas berhasrat menghantar lebih ramai pelajar Malaysia mengambil jurusan itu di Jepun dan Korea Selatan.

“Selain Jepun dan Korea Selatan, saya yakin hasrat Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) adalah untuk melihat juga penghantaran pelajar dari Malaysia ke China bagi mempelajari beberapa bidang ilmu berteknologi tinggi.

“Dasar Pandang Ke Timur 1.0 tidak memasukkan China sedangkan mereka sama maju kalau tidak pun lebih dari Jepun dan Korea Selatan,” katanya kepada media Malaysia selepas melawat Institut Teknologi Nasional, Kolej Tokyo (Tokyo KOSEN) bagi mempelajari Model KOSEN di sini hari ini.

Model KOSEN menekankan konsep pembelajaran TVET lebih menyeluruh dan terangkum dengan menyediakan laluan pembelajaran selama lima tahun kepada pelajar yang cenderung memilih bidang itu seawal usia 15 tahun.

Semalam, Ahmad Zahid ketika majlis ramah mesra dengan kira-kira 70 pelajar Malaysia di Jepun, memaklumkan lebih ramai pelajar akan dihantar mengikuti pengajian TVET di luar negara selaras usaha kerajaan memperkasa bidang TVET negara.

Sementara itu, Ahmad Zahid yang dalam rangka lawatan kerja tujuh hari ke Jepun, berkata Dasar TVET Negara dijangka dibentang di Kabinet pada Mac depan sebelum dilancarkan pada 2 Jun ini bersempena Hari TVET Negara.

Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu berkata kerangka utama dasar berkenaan sudah tersedia dan pihak Sekretariat TVET sedang mengemas kini semua maklumat.

Ahmad Zahid berkata pihak Sekretariat TVET juga telah mengedarkan Dasar TVET Negara kepada 12 Kementerian, Jabatan Peguam Negara dan beberapa agensi lain untuk mendapatkan pandangan.

“Setelah ini selesai, kami akan lakukan pembentangan kepada Jemaah Menteri. Insya-Allah pada Mac ini, saya sendiri akan membentangkan kepada Jemaah Menteri untuk dapatkan kelulusan bagi pelaksanaan dan pelancarannya pada Jun nanti,” katanya.

Ketika ini Malaysia mempunyai 1,345 institusi TVET dengan kadar kebolehpasaran graduan sebanyak 92.5 peratus.

Ahmad Zahid juga berkata rangka kerja itu akan menjadi garis panduan untuk program TVET di seluruh negara bagi disesuaikan demi memenuhi keperluan industri.

“Dasar ini juga akan digubal bagi meningkatkan kebolehpasaran serta daya saing tenaga kerja di samping meletakkan asas untuk pertumbuhan ekonomi dan kemakmuran negara yang mampan,” katanya. – Bernama

STAY AHEAD OF THE CURVE

Join our community for instant updates and exclusive content.

Join Telegram Channel

Related


spot_img

Latest News

Aberdeen Technical School “ATS Robot” Wins 1st Runner-Up at Robofest World Championship

HONG KONG SAR - Media OutReach Newswire – 25 June 2026 - The robotics team from Aberdeen Technical School (ATS), ATS Robot, has shone brightly on the academic innovation and technology stage in recent years.

Striding AI Announces Plans to Develop Next-Generation Robotic Foundation Systems for Physical AI Deployment

BEIJING, CHINA - Media OutReach Newswire - 25 June 2026 - Striding AI today announced that it is developing a new generation of robotic foundation systems designed to accelerate the deployment of Physical AI in real-world environments.

Most Viewed

spot_img
WC26

World Cup 2026

Updates, Fixtures, Results & Standings